|  
              Pembelajaran 
                Maya: Sejauh Mana Anda Berani? 
 Dunia 
              teknologi maklumat memudahkan segala-galanya. Tidak hanya untuk 
              mengetahui berita terkini, melihat turun naik saham di pasaran, 
              melihat gelagat masyarakat lain di seluruh dunia dengan kepelbagaian 
              budaya dan sosio-politiknya, bahkan untuk membeli ikan dan sayuran 
              segar pun boleh dilakukan melalui internet. Internet dan dunia teknologi 
              maklumat boleh melakukan apa sahaja yang terlintas di fikiran manusia. 
              Begitulah hebatnya kuasa dunia teknologi maklumat!! Mereka 
              yang barangkali mengidamkan diploma atau ijazah dari luar negara, 
              pun boleh mendapatkannya melalui internet. Caranya mudah. Cari institusi 
              pengajian tinggi yang menawarkan pendidikan secara online, mendaftar 
              dengan universiti tersebut dan ikuti pembelajarannya. Semua tugasan 
              boleh dihantar melalui e-mel atau kaedah lain yang begitu mudah. 
              Tidak ada lagi perhubungan antara pensyarah dengan pelajar secara 
              langsung. Semuanya dihubungkan melalui rangkaian virtual.  Mudah, 
              jimat dan sesiapa sahaja yang berkelayakan dan memenuhi syarat boleh 
              mengikuti pembelajaran bercorak ini. Tidak ada lagi istilah minggu 
              orientasi yang meletihkan atau terpaksa berhadapan dengan pensyarah 
              yang cerewet. Bagi sesetengah institusi, pelajar perlu berlu juga 
              bertemu dengan pensyarah di kampus atau pusat-pusat tertentu sama 
              ada seminggu sekali atau beberapa kali dalam sebulan. Dan setelah 
              selesai mengikuti semua kursus dan mengambil peperiksaan tertentu, 
              diploma atau ijazah akan dianugerahi kepada pelajar. Walaupun 
              mudah, sejauh mana pula kualitinya? Dalam Asiaweek (Vol 26) yang 
              lalu melaporkan seorang eksekutif muda yang ingin mengikuti program 
              Sarjana Pengurusan Perniagaan (MBA) dari sebuah institusi pengajian 
              tinggi di Ireland yang ditawarkan melalui internet. Tetapi, sebelum 
              mendaftar beliau terlebih dahulu merujuk dengan Kedutaan Ireland 
              di Kuala Lumpur. Beliau bernasib baik kerana tindakan bijaknya itu. 
              Rupanya tidak ada sebuah universiti atau badan-badan yang berkaitan 
              di Ireland yang mengiktiraf ijazah yang dikeluarkan oleh universiti 
              tersebut. Jadinya, 
              walaupun internet boleh menawarkan segala-galanya, bukanlah pula 
              bermakna apa yang ditawarkan itu semuanya benar. Seribu satu macam 
              penipuan yang boleh berlaku.  Dan 
              jika sekalipun pembelajaran online itu dikendalikan oleh universiti 
              yang sah, apakah kemungkinan pelajar yang mendaftar 
              itu benar-benar menjalankan tanggungjawabnya. Bagaimana jika seorang 
              pelajar yang tidak mengetahui apa-apa pun mendaftar, dan yang mengikuti 
              pembelajaran itu hanya wakil kepada pelajar tersebut. Wakilnya tentulah 
              boleh dipercayai dan bijak, yang boleh melakukan tugasan dengan 
              baik. Tidakkah perkara seumpama ini berlaku kerana siapa yang boleh 
              memastikan bahawa hasil kerja yang dihantar oleh seseorang pelajar 
              melalui internet ialah hasil kerjanya yang asli? Oleh 
              itu, sesiapa yang berminat untuk mengikuti kursus secara online 
              perlu lebih berhati-hati. Tidak ada sesiapa pun yang boleh mengesahkan 
              kesahihannya, sama ada dari segi kualiti atau prestasi yang lain. 
              Jangan juga terkejut jika ijazah tersebut tidak diktiraf oleh majikan 
              kerana mereka barangkali tidak mahu terpedaya dengan ijazah fatamorgana. 
              Dan jika anda memilih untuk pembelajaran ini, persilakan! Asalkan 
              anda sanggup terlebih dahulu merujuk dengan pihak-pihak berkenaan 
              dan sanggup pula menanggung risikonya.  Jika 
              berminat, lawatilah laman web ini; www.degree.net
 www.usqonline.com.au
 www.open.ac.uk
 www.smartplanet.com
 http://online.uophx.edu
 |