Banner di atas tiada kena mengena dengan saya. Ia adalah dari syarikat yang memberi ruang web ini.
Lepak sungguh kat sini

  Pengkelasan Komputer Mengikut Saiz:

Pengenalan:

Komputer boleh didapati dalam berbagai-bagai saiz dan keupayaan. Ada komputer yang sekecil tapak tangan dan ada yang sebesar sebuah bilik. Ada komputer yang memadai untuk orang perseorangan dan ada komputer yang sesuai bagi organisasi besar. Lain orang lain keperluan dan komputer yang sesuai bergantung kepada keperluan tersebut.Komputer semakin lama semakin kecil. Tetapi tidak semestinya, komputer yang lebih besar sudah ketinggalan zaman atau tidak semestinya digunakan lagi. Sebaliknya, komputer yang lebih kecil tidak boleh dianggap kurang berguna. Ini semua terpulang kepada tujuan kita memerlukan komputer. Komputer dikategorikan mengikut saiz, kelajuan, kebolehan pemprosesan dan harga.

I) Komputer Mikro:

Komputer mikro merupakan jenis komputer yang terkecil yang sesuai untuk kegunaan individu. Harganya dalam linkungan RM2 000 ke atas. Oleh sebab harga dan saiznya, mikrokomputer paling banyak digunakan. Komputer jenis ini dilihat di mana-mana seperti di rumah, sekolah atau pejabat dan digunakan oleh segenap lapisan masyarakat.

Sejak diperkenalkan pada tahun 1975 , ia telah merevolusikan pendidikan dan cara hidup harian. Di negara kita, pada tahun 1991 sahaja, sebanyak RM268 juta telah dibelanjakan untuk membeli kira-kira 65 000 unit PC. Angka ini dijangka meningkat pada tahun-tahun akan datang.

Terdapat beberapa bentuk komputer mikro, yang paling popular ialah PC (Personal Computer) atau komputer peribadi yang banyak digunakan di pejabat, restoran, sekolah dan rumah. Komputer mikro yang lebih kecil daripada PC termasuklah komputer pangku atau laptop, komputer notebook, dan komputer poket.

a) Komputer Peribadi (Personal Computer)

Pada waktu Pc baru muncul, harga sebuah unit yang mempunyai ingatan 16K dan monitor monokrom lebih kurang RM 10 000. Komputer seperti ini sudah dianggap kuno dan tidak sesuai untuk zaman sekarang. Pada hari ini, dengan harga yang sama kita boleh membeli sebuah sebuah komputer mikro yang jauh lebih baik, dan jauh lebih tinggi keupayaan. Malahan kita boleh membeli dua buah PC yang berkemampuan agak tinggi dengan wang RM 10 000 itu.

b) Komputer Pangku (Laptop)

Dalam dunia yang serba moden ini, ramai yang bergantung pada komputer di pejabat dan di rumah. Ramai eksekutif, pensyarah dan penulis buku perlukan komputer yang senang dibawa ke mana sahaja supaya mereka boleh membuat kerja di mana saja mereka berada. Komputer pangku memberi keistimewaan ini. Tahap keupayaannya sama seperti PC yang lengkap dengan pemacu cakera liut dan/ atau pemacu cakera keras. Oleh sebab saiz lebih kecil, ia senang dibawa ke mana-mana. Saiz terkecilnya lebih kurang 12” x 12” x 2” .Beratnya antara 4 – 7kg. Selain menggunakan kuasa elektrik, komputer pangku boleh juga menggunakan kuasa bateri.

c) Notebook

Walaupun komputer pangku mudah dibawa ke mana-mana, ramai orang menganggap komputer pangku tidak cukup kecil dan masih agak berat. Lantas lahir komputer notebook yang menyerupai komputer pangku tetapi lebih kecil dan ringan. Saiznya lebih kurang 8 ½” x 11” x 1 ½” dan beratnya lebih kurang 2 –3.5kg. Ia juaga boleh dimasukkan ke dalam beg bimbit. Seperti komputer pangku ia boleh menggunakan kuasa elektrik ataupun bateri. Kini komputer notebook lebih popular daripada komputer pangku.

Komputer notebook juga mempunyai pemacu cakera dan /atau cekera keras. Skrin kedua-dua komputer pangku dan notebook ini ialah skrin paparan hablur cecair (LCD- Liquid Crystal Display). Imejnya agak baik sungguhpun tidak setanding dengan monitor PC atau tiub sinar katod (CRT-Cathode Ray Tube). Walau bagaimanapun skrin LCD boleh memaparkan 24 baris x 80 kolum seperti juga skrin CRT.

d) Komputer poket

Akhir –akhir ini muncul pula komputer sekecil tapak tangan yang bleh dimuatkan ke dalam poket sebuah jaket. Berukuran 4” x 8” x1” dan seberat 0.5kg atau kurang , komputer kecil ini mempunyai skrin yang kecil. Ia mempunyai papan kekunci miniatur seperti kekunci kalkulator. Contoh komputer poket yang terdapat di negara kita ialah HP95LXPalmtop dan Psion Organizer II.

Keupayaan komputer poket tidak sama dengan PC. Walaupun begitu, komputer poket boleh disambungkan ke PC dengan kabel. Biasanya komputer poket berfungsi sebagai kalkulator, pengelola elektronik,dan mengandungi perisian popular seperti Lotus 1-2-3. Ia tidak ada pemacu liut atau pemacu cekera keras. Maklumat disimpan di dalam ingatan eletronik yang dikuasai bateri. Oleh sebab keupayaannya yang terhad dan harganya yang agak mahal, komputer poket ini sesuai untuk kegunaan khusus dan bukan menggantikan komputer pangku, notebook, atau PC.

II) Komputer Mini

Komputer mini tidak sebesar komputer utama dan tahap keupayaannya sesuai bagi organisasi yang sederhana dan tidak memerlukan kuasa komputer utama. Pengguna berinteraksi dengan komputer mini melalui terminal seperti dengan komputer utama. Harga komputer mini dalam lingkungan ratus ribu ringgit.Harga minikomputer dalam lingkungan RM500 000. Kini komputer mini tidak sepopular masa lampau disebabkan banyak organisasi mula membeli komputer mikro yang semakin habat.

III) Kerangka Utama

Kerangka utama besar dan memerlukan sebuah bilik yang besar serta pantas. Kerangka utama adalah termahal dari minikomputer atau mikrokomputer. Komputer ini juga boleh membuat lebih banyak tugas dan lebih pantas daripada minikomputer atau mikrokomputer. Ia boleh mengendalikan berjuta pengiraan sesaat dan boleh menampung beberapa pengguna melalui terminal dalam masa yang serentak. Ia juga memerlukan persekitaran khusus termasuk penyaman udara, penyejukkan dan kuasa elektrik yang berasingan. Pendawaian kabel sambungan juga rumit. Satu sistem yang lengkap berharga beberapa ratus ribu hingga berjuta ringgit. Harga sesebuah kerangka utama lebih kurang RM300 000 ke atas. Pengguna kerangka utama terdiri daripada organisasi besar khususnya dalam dunia perniagaan, penyelidikan dan angkatan tentera.

IV) Super Komputer

Super komputer mempunyai tahap keupayaan yang tertinggi,terpantas dan harganya amat mahal ; ia komputer paling hebat antara semua komputer. Ia boleh memproses berbillion arahan sesaat – 40 000 hingga 50 000 kali lebih cepat daripada komputer mikro. Super komputer biasanya digunakan untuk meramal iklim dunia, membentuk strategi peperangan moden, reka bentuk dan ujian kejuteraan, penerokaan angkasa lepas dan kerja-kerja yang memerlukan pengiraan kompleks dan mengambil masa yang lama. Ia boleh memproses mengiraan sebanyak 800 juta sesaat, contohnya super komputer Cray Y- MP EL (yang termurah dari Cray). Harganya sejuta ringgit ke atas

KESIMPULAN

Komputer telah melalui perkembangan yang pesat sejak 50 tahun yang lalu. Terdapat lima generasi komputer. Setiap generasi mempunyai cirinya yang tersendiri. Komputer juga terdiri daripada beberapa jenis. Jenis komputer yang kita guna bergantung pada keperluan. Oleh sebab perkembangan yang pesat dengan komputer semakin kecil dan murah, ramai individu telah membeli mikrokomputer untuk kegunaan mereka sendiri atau untuk anak-anak di rumah. Kita beruntung dapat menggunakan komputer yang canggih ini untuk membuat tugas harian. Walau bagaimanapun, secara umum, lebih besar sesebuah komputer itu, lebih mahal harganya dan lebih hebat tugas yang dibuatnya.

Masyarakat kini semakin banyak menggunakan maklumat bertimbun-timbun pula. Komputer akan memainkan peranan yang terpenting dalam masyarakat. Sistemtelekomunikasi juga akan menjadi perkara lazim. Keadaan ini semua akan menukar corak pendidikan baik di negara maju atau membangun. Sudah sampai masanya kita memahirkan diri menggunakan komputer dengan berkesan demi kemajuan diri sendiri, masyarakat dan negara.

 
semua maklumat di sini adalah hakmilik semua, sila perbanyakkan lagi
©SIMEE CYBER - http://simee.bravepages.com/ - 2002