|
KISAH
KEPALA KAMBING
Adalah Ibn Umar ra telah menceritakan:
'Seorang Sahabat telah menerima satu pemberian hadiah berupa kepala
kambing. Tetapi dia telah memikirkan bahawa dia tidak berhak memiliki
pemberian hadiah kepala kambing tersebut sedangkan jiran yang tinggal
di sebelah rumahnya lebih memerlukan kerana jiran ini mempunyai
satu keluarga yang besar. Lalu dia pun menghadiahkan kepala kambing
itu kepada keluarga tersebut. Manakala jirannya pula setelah menerima
pemberian darinya itu telah juga memikirkan bahawa beliau juga tidak
perlu memiliki pemberian tersebut kerana terkenangkan akan seorang
jirannya yang sangat memerlukan lebih daripada apa yang diperlukannya.
Begitulah juga seterusnya berlaku sehingga diketahui bahawa pemberian
kepala kambing itu telah bertukar dari tangan ke tangan saudara-saudara
yang lain tidak kurang dari 7 kali. Akhir sekali, rupa0rupanya pemberian
kepala kambing itu telah kembali ke tangan Sahabat yang mula-mula
menerimanya,'
Dari peristiwa ini dapatlah kita pelajari bagaimana para Sahabat
yang berada dalam kemiskinan dan setengah dari mereka yang sentiasa
memerlukan, sanggup pula mengutamakan kepentingan saudara mereka
yang lain dari mementingkan kenikmatan untuk diri mereka sendiri.
KEHIDUPAN YANG SEDERHANA
Pada suatu hari nabi sedang duduk dengan beberapa orang sahabatnya.
Seketika itu juga melintas seorang hamba Allah di hadapan mereka,
lantas Nabi pun bertanya:
“Apakah pendapat kamu terhadap orang itu?”
Mereka menjawab:
“ Ya Rasulullah, dia berketurunan bangsawan. Demi Allah , jika
dia melamar seorang wanita dari kaum bangsawan juga, lamarannya
sudah barangpasti tidak akan ditolak, kalau dia menganjurkan sebarang
perkahwinan, perkahwinan itu pasti akan dipersetujui oleh kedua-dua
belah pihak.”
Nabi tidak memberikan sebarang ulasan. Sebentar kemudiannya melintas
lagi seorang hamba Allah di hadapan mereka, Nabi bertanya pula berkenaan
orang ini.
Kata mereka : “Dia seorang Islam yang miskin. Kalaupun dia
bertunang dengan seorang wanita, peluangnya untuk mengahwini wanita
itu sudah tentu tipis. Kalau dia menganjurkan perkahwinan anjurannya
akan gagal. Jika ia berkata, tiada seorang pun mahu mendengarnya.”
Nabi berkata:
“Orang kedua ini lebih baik daripada orang yang pertama.”
Allah tidak memandang akan keturunan mahupun darjat seseorang. Seorang
Islam yang miskin, yang hina dina dan dipandang rendah oleh insan
semuanya, lebih dekat kepada Allah daripada beratus-ratus orang
yang kononnya bangsawan dan dimuliakan serta dijilat-jilat oleh
manusia lain. Dalam sepotong hadis Nabi s.a.w ada bersabda:
“Riwayat alam maya ini akan tamat kalau tidak ada seorang manusia
pun yang memuji-muji nama Allah. Hanya nama Allah yang Kudus sahaja
yang menghidupkan alam ini.”
KAKI AMPU YANG MUNAFIK
Pada suatu hari, seorang raja memanggil kesemua penasihatnya yang
terdiri daripada mufti, menteri-menteri dan timbalannya, para hukama
dan tokoh-tokoh agama negarawan ke istana hinggapnya. Mereka dijamu
dengan pelbagai juadah dan dianugerahi dengan bintang-bintang kehormat.
Selepas menikmati jamuan, raja mengeluarkan sebotol minyak wangi
dari sakunya. Baginda membuka dan menghidunya. "Minyak wangi
apa ni... busuk sangat baunya.." Sambil berkata begitu, raja
itu menghulurkan botol itu kepada mufti di sebelahnya. Mufti itu
menghidunya. "Ya, benar. Terlalu busuk minyak wangi ini."
Minyak wangi itu diberikan pula kepada wazir di sebelahnya. Wazir
itu berkata, "Betul Tuanku! Minyak wangi ini memang busuk."
Begitulah seterusnya botol itu diedar kepada para jemputan yang
ada di balai rong. Kesemua mereka mengatakan busuk sebagaimana didakwa
oleh rajanya.
Akhirnya sampailah kepada giliran seorang mamanda menteri. Sebaik
saja menciumnya, dia terus berikan respons, "Tidak betul, mana
ada minyak wangi yang tidak wangi. Kesemua minyak wangi adalah wangi
termasuk yang ini. Minyak wangi ini sangat harum, tidak seperti
yang tuan-tuan katakan."
Mendengar kata-kata mamanda menteri tadi, raja itu tersenyum sambil
berkata, "Benar kata-kata menteriku ini. Kamu semua adalah
pengampu yang berbohong. Kamu sanggup menyembunyikan kebenaran kerana
nak mengampu dan menjaga status kamu semua. Mulai hari ini pengampu-pengampu
semua dipecat dari sebarang jawatan. Mamanda menteri yang berkata
benar ini beta lantik menjadi penasihat diraja."
PENCURI KAIN KAPAN
Di Baghdad terdapat seorang lelaki yang sering mencuri kain kapan.
Dia menggali setiap kubur orang yang baru meninggal dunia dan mengambil
kain itu. Pada satu malam sedang dia menggali kubur, dia terperanjat
besar melihat api menjulang-julang keluar dari lubang kubur. Badannya
menggigil dan terus pengsan.
Sebaik saja sedar, dia lari lintang-pukang sambil menangis teresak-esak.
Dia berjumpa dengan seorang wali Syeikh Jonid Al-Bustani untuk menceritakan
keadaan dan ingin bertaubat. Dia mengadu yang dia telah menggali
78 kubur. Hanya 2 kubur saja yang mayatnya masih menghadap kiblat.
Dalam kubur-kubur lain, semua mayat itu telah berpusing membelakangkan
kiblat. Syeikh Joned menerangkan mayat-mayat yang berpusing membelakangkan
kiblat itu adalah pada masa hidupnya syak atau ragu-ragu tentang
jaminan rezeki oleh Allah.
TUKANG KASUT DAN RAJA
Seorang alim meminta tukang kasut menampal kasutnya yang koyak.
Orang alim itu tidak mempunyai wang sebagai upah kepada tukang kasut.
Sebagai ganti dia hendak mengajarkan satu ilmu agama kepadanya.
Tukang kasut itu tidak bersetuju dan tetap hendakkan wang sebagai
upah.
Di negeri yang sama, seorang raja menyerahkan anaknya kepada Tok
Guru untuk mendalami ilmu agama. Bertahun-tahun anaknya belajar
di pondok Tok Guru tetapi tidak dapat apa-apa kecuali mahir dalam
satu bab saja iaitu Bab Haid. Apabila Raja mengetahui anaknya mahir
dalam agama walau satu bab sahaja, dia menyerahkan semua hartanya
kepada si-anak tadi.
PERBALAHAN MALAIKAT RAHMAT DAN MALAIKAT AZAB
Pada zaman dulu, ada seorang lelaki yang telah membunuh 99 orang.
Dia ingin menjumpai pendeta untuk meminta fatwa supaya dia dapat
bertaubat dari dosanya. Sebaik saja berjumpa, dia pun menerangkan
bahawa dia telah membunuh 99 orang dan bertanya sama ada dia masih
ada peluang untuk bertaubat. Pendeta dengan tegas mengatakan dia
tidak boleh bertaubat kerana dosanya terlalu banyak. Lelaki itu
menjadi marah dan terus membunuh pendeta itu, menjadikannya mangsa
yang ke-100.
Dia masih ingin untuk bertaubat dan terus mencari kalau-kalau ada
ulama yang boleh membantunya. Akhirnya dia berjumpa dengan seorang
ulama. Dia menceritakan bahawa dia telah membunuh 100 orang dan
bertanya sama ada Allah masih menerima taubatnya. Ulama itu menerangkan
dia masih ada harapan untuk bertaubat. Seterusnya dia menyuruh lelaki
itu pergi ke sebuah negeri di mana terdapat sekumpulan abid (orang
beribadat). Apabila sampai di sana nanti, ulama itu menyuruhnya
tinggal di sana dan beribadat bersama mereka. Ulama itu melarangnya
pulang ke negeri asalnya yang penuh dengan maksiat.
Lelaki itu mengucapkan terima kasih lalu terus menghala ke negeri
yang diterangkan oleh ulama tadi. Sebaik saja sampai separuh perjalanan,
dia jatuh sakit lalu meninggal dunia.
Ketika itu terjadilah perbalahan antara dua malaikat, iaitu Malaikat
Rahmat dan Malaikat Azab. Malaikat Rahmat ingin mengambil roh lelaki
itu kerana pada pendapatnya dia adalah orang baik lantaran azamnya
untuk bertaubat sementara Malaikat Azab mengatakan dia mati dalam
su'ul-khatimah kerana dia telah membunuh 100 orang dan masih belum
membuat sebarang kebajikan. Mereka saling berebutan dan tidak dapat
memutuskan keadaan lelaki itu.
Allah kemudian menghantar seorang malaikat lain berupa manusia untuk
mengadili perbalahan mereka berdua. Dia menyuruh malaikat itu mengukur
jarak tempat kejadian itu dengan kedua-dua tempat; adakah tempat
kejadian itu lebih dekat dengan tempat kebajikan yang hendak dituju
atau lebih dekat dengan tempat dia mula bertolak. Sekiranya jaraknya
lebih dekat dengan tempat kebajikan, dia kepunyaan Malaikat Rahmat.
Setelah diukur, didapati jarak ke negeri kebajikan melebihi kadar
sejengkal saja. Lalu roh lelaki itu terus diambil oleh Malaikat
Rahmat. Lelaki itu akhirnya mendapat pengampunan Allah.
BATU TERLEPAS DARI NERAKA
Pada zaman dulu, seorang nabi bertemu seketul batu kecil di tengah
jalan. Beliau hairan dan tercengang melihat air mencurah-curah keluar
dengan banyak melalui serkahan batu itu. Dengan izin Allah, batu
itu boleh berkata-kata. "Semenjak aku dengar Firman Tuhan bahawa
bahan bakar neraka ialah manusia dan batu, aku selalu menangis ketakutan!"
Nabi itu bermohon supaya batu itu terlepas dari neraka. Beberapa
lama kemudian, nabi itu menjumpai batu itu sekali lagi dalam keadaan
menangis seperti dulu. Beliau bertanya batu itu kenapa dia menangis
lagi sedangkan dia terselamat dari menjadi bahan bakar api neraka.
"Dulu aku menangis kerana ketakutan tetapi sekarang aku menangis
kerana bersyukur dan gembira!!"
SI-SOPAK, SI-BOTAK DAN SI-BUTA
Pada suatu hari Allah memerintahkan malaikat bertemu dengan tiga
orang Bani Israil. Ketiga-tiga mereka cacat; seorang botak, seorang
sopak dan seorang lagi buta.
Malaikat yang menyamar seperti manusia itu bertanya si-sopak "Jika
Allah hendak kurniakan sesuatu untuk kamu, apakah yang kamu mahu?"
Si-sopak menjawab, "Saya mahu kulit saya sembuh seperti biasa
dan diberi kekayaan yang banyak." Dengan takdir Allah, kulitnya
kembali sembuh dan dikurniakan rezeki yang banyak.
Kemudian malaikat bertanya si-botak soalan yang sama. Si-botak menjawab,
"Saya mahu kepala saya berambut semula supaya kelihatan kacak
dan diberikan harta yang banyak." Tiba-tiba, dengan kurnia
Allah si-botak itu kembali berambut dan diberikan harta yang banyak.
Selepas itu malaikat bertanya si-buta pertanyaan yang sama. Si-buta
menjawab, "Saya hendak mata saya dicelikkan semula dan diberikan
harta yang banyak." Dengan takdir Allah, mata si-buta menjadi
celik dan dikurniakan kekayaan yang melimpah.
Selang beberapa bulan, Allah memerintahkan semula malaikat untuk
berjumpa dengan ketiga-tiga orang cacat itu. Kali ini malaikat menyamar
sebagai peminta sedekah. Dia berjumpa dengan orang pertama yang
dulunya sopak dan meminta sedikit wang. 'Si-sopak' itu tidak menghulurkan
sebarang bantuan malah mengherdik malaikat. Malaikat berkata, "Saya
rasa saya kenal kamu. Dulu kamu sopak..dan miskin. Allah telah menolong
kamu." Si-sopak tidak mengaku. Dengan kuasa Allah, si-sopak
yang sombong itu bertukar menjadi sopak semula dan bertukar menjadi
miskin.
Kemudian malaikat berjumpa dengan si-botak yang telah menjadi kaya
dan berambut lebat. Apabila malaikat meminta bantuan, si-botak juga
enggan membantu, malahan dia tidak mengaku bahawa dia dulu botak.
Oleh sebab sombong dan tidak sedar diri, Allah menjadikan kepalanya
botak semula dan bertukar menjadi miskin.
Malaikat berjumpa dengan orang buta yang telah diberikan penglihatan.
Apabila malaikat meminta bantuan, si-buta memberikan keseluruhan
hartanya dan berkata, "Ini semua harta pemberian Allah. Ambillah
kesemuanya. Mata saya yang kembali celik ini adalah lebih berharga
daripada kesemua harta ini." Malaikat tidak mengambil pemberian
itu. Dia memberitahu bahawa dia adalah malaikat yang pernah datang
dulu. Kedatangannya kali ini ialah untuk menguji siapa di antara
mereka bertiga yang bersyukur.
Si-buta yang bersyukur itu terus dapat menikmati kekayaan dan penglihatannya.
Manakala si-sopak dan si-botak kekal dengan keadaannya yang asal.
|
|