Banner di atas tiada kena mengena dengan saya. Ia adalah dari syarikat yang memberi ruang web ini.
Lepak sungguh kat sini

 

Pembelajaran Maya: Sejauh Mana Anda Berani?

Dunia teknologi maklumat memudahkan segala-galanya. Tidak hanya untuk mengetahui berita terkini, melihat turun naik saham di pasaran, melihat gelagat masyarakat lain di seluruh dunia dengan kepelbagaian budaya dan sosio-politiknya, bahkan untuk membeli ikan dan sayuran segar pun boleh dilakukan melalui internet. Internet dan dunia teknologi maklumat boleh melakukan apa sahaja yang terlintas di fikiran manusia. Begitulah hebatnya kuasa dunia teknologi maklumat!!

Mereka yang barangkali mengidamkan diploma atau ijazah dari luar negara, pun boleh mendapatkannya melalui internet. Caranya mudah. Cari institusi pengajian tinggi yang menawarkan pendidikan secara online, mendaftar dengan universiti tersebut dan ikuti pembelajarannya. Semua tugasan boleh dihantar melalui e-mel atau kaedah lain yang begitu mudah. Tidak ada lagi perhubungan antara pensyarah dengan pelajar secara langsung. Semuanya dihubungkan melalui rangkaian virtual.

Mudah, jimat dan sesiapa sahaja yang berkelayakan dan memenuhi syarat boleh mengikuti pembelajaran bercorak ini. Tidak ada lagi istilah minggu orientasi yang meletihkan atau terpaksa berhadapan dengan pensyarah yang cerewet. Bagi sesetengah institusi, pelajar perlu berlu juga bertemu dengan pensyarah di kampus atau pusat-pusat tertentu sama ada seminggu sekali atau beberapa kali dalam sebulan. Dan setelah selesai mengikuti semua kursus dan mengambil peperiksaan tertentu, diploma atau ijazah akan dianugerahi kepada pelajar.

Walaupun mudah, sejauh mana pula kualitinya? Dalam Asiaweek (Vol 26) yang lalu melaporkan seorang eksekutif muda yang ingin mengikuti program Sarjana Pengurusan Perniagaan (MBA) dari sebuah institusi pengajian tinggi di Ireland yang ditawarkan melalui internet. Tetapi, sebelum mendaftar beliau terlebih dahulu merujuk dengan Kedutaan Ireland di Kuala Lumpur. Beliau bernasib baik kerana tindakan bijaknya itu. Rupanya tidak ada sebuah universiti atau badan-badan yang berkaitan di Ireland yang mengiktiraf ijazah yang dikeluarkan oleh universiti tersebut.

Jadinya, walaupun internet boleh menawarkan segala-galanya, bukanlah pula bermakna apa yang ditawarkan itu semuanya benar. Seribu satu macam penipuan yang boleh berlaku.

Dan jika sekalipun pembelajaran online itu dikendalikan oleh universiti yang “sah”, apakah kemungkinan pelajar yang mendaftar itu benar-benar menjalankan tanggungjawabnya. Bagaimana jika seorang pelajar yang tidak mengetahui apa-apa pun mendaftar, dan yang mengikuti pembelajaran itu hanya wakil kepada pelajar tersebut. Wakilnya tentulah boleh dipercayai dan bijak, yang boleh melakukan tugasan dengan baik. Tidakkah perkara seumpama ini berlaku kerana siapa yang boleh memastikan bahawa hasil kerja yang dihantar oleh seseorang pelajar melalui internet ialah hasil kerjanya yang asli?

Oleh itu, sesiapa yang berminat untuk mengikuti kursus secara online perlu lebih berhati-hati. Tidak ada sesiapa pun yang boleh mengesahkan kesahihannya, sama ada dari segi kualiti atau prestasi yang lain. Jangan juga terkejut jika ijazah tersebut tidak diktiraf oleh majikan kerana mereka barangkali tidak mahu terpedaya dengan ijazah fatamorgana. Dan jika anda memilih untuk pembelajaran ini, persilakan! Asalkan anda sanggup terlebih dahulu merujuk dengan pihak-pihak berkenaan dan sanggup pula menanggung risikonya.

Jika berminat, lawatilah laman web ini;
www.degree.net
www.usqonline.com.au
www.open.ac.uk
www.smartplanet.com
http://online.uophx.edu

 

 

 

semua maklumat di sini adalah hakmilik semua, sila perbanyakkan lagi
©SIMEE CYBER - http://simee.bravepages.com/ - 2002