Banner di atas tiada kena mengena dengan saya. Ia adalah dari syarikat yang memberi ruang web ini.
Lepak sungguh kat sini

 

Penguasaan Bahasa Inggeris Di Kalangan Pelajar Luar Bandar. Sekadar Cadangan

Salah satu isu yang sedang berdepan dengan masyarakat kita hari ini ialah penguasaan bahasa Inggeris bagi tujuan memenuhi cabaran global. Bukanlah ini bermakna bahawa penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara ini sudah tidak lagi penting. Tetapi, kita harus mengakui hakikat bahawa penguasaan bahasa Inggeris itu sesuatu yang perlu khususnya bagi mendapatkan pengetahuan baru dan pemindahan teknologi dari negara luar. Ia satu hal yang tidak dapat dielakkan sama sekali.

Malangnya, apa yang berlaku, sehingga kini penguasaan pelajar kita dalam bahasa Inggeris khususnya di kalangan pelajar luar bandar masih di tahap yang membimbangkan. Berdasarkan satu kajian yang oleh Institut Tamadun dan Alam Melayu (Atma), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) misalnya mendapati bahawa situasi ini timbul kerana :

1. Bahasa tersebut dianggap asing
2. Pelajar tidak memberi fokus kepada keperluan penguasaan bahasa berkenaan dan lemah perbendaharaan kata serta struktur ayat.
3. Faktor yang disebabkan oleh guru.

Walaupun kajian tersebut hanya dilakukan di beberapa kawasan tertentu dan tidak semestinya mencerminkan keseluruhan prestasi pelajar luar bandar, tetapi itu adalah sebahagian daripada hakikatnya. Oleh itu, usaha yang lebih terancang dan kemas perlu dilakukan bagi menimbulkan minat pelajar seterusnya meningkatkan penguasaan mereka terhadap bahasa Inggeris. Dalam persekitaran luar bandar yang tidak memberikan perhatian kepada penggunaan bahasa Inggeris sama ada lisan atau tulisan, maka pelajar tidak merasa penting untuk menguasai bahasa Inggeris.

Pendedahan terhadap bahasa Inggeris barangkali hanya berlaku ketika di sekolah. Ia mungkin hanya beberapa jam seminggu. Jadinya, adalah penting untuk menggalakkan pelajar menguasai bahasa Inggeris, pendedahan awal perlu dilakukan khususnya di peringkat sekolah rendah. Seorang pembaca akhbar memberikan cadangan agar mata pelajaran tertentu di sekolah rendah dimansuhkan misalnya mata pelajaran kemahiran hidup dan muzik. Dengan cara inii, lebih banyak masa dapat ditumpukan untuk mengajar bahasa Inggeris. Cadangan ini mungkin berasas walaupun agak drastik sifatnya. Pada peringkat sekolah rendah, walaupun kedua-dua mata pelajaran ini perlu, tetapi ia mungkin tidaklah terlalu penting jika dibandingkan dengan bahasa Inggeris. Atau, ada baiknya, mata pelajaran ini di ajar pada waktu lain di luar waktu persekolahan sebagai matapelajaran pilihan yang wajib diambil. Jika tidak, kita tidak mempunyai banyak masa untuk mendedahkan pelajar dengan bahasa Inggeris.

Pada masa yang sama, sekolah-sekolah di luar bandar juga perlu mengambil inisiatif sendiri untuk merancakkan penggunaan bahasa Inggeris di kalangan pelajarnya. Ia mungkin boleh dilakukan dengan mengadakan kempen atau memberi insentif atau mewajibkan pelajar menyertai Kelab Bahasa Inggeris. Sekurang-kurangnya, dengan cara ini, pelajar akan dapat menghabiskan banyak waktunya dalam budaya berbahasa Inggeris. Kita tidak mahu ketika persekitaran masyarakat yang memerlukan penguasaan pengetahuan baru yang tentunya lebih bersifat global, masyarakat desa masih ketinggalan.

Ahli-ahli akademik dari universiti atau institusi pengajian tinggi tertentu juga perlu turun padang sebagai satu tanggungjawab sosial untuk masyarakat. Di negara kita dengan kehadiran belasan buah universiti di seluruh negara, termasuk Sabah dan Sarawak perlu mengambil langkah-langkah tertentu. Ada baiknya jika Universiti Utara Malaysia menubuhkan badan tertentu yang mengambil langkah memperluaskan penggunaan bahasa Inggeris di kawasan utara, manakala di Sabah dan Sarawak pula Universiti Malaysia Sabah dan Universiti Malaysia Sarawak memainkan peranannya, sebagai mana yang perlu juga dimainkan oleh universiti lain di kawasannya. Kita juga tidak mahu usaha-usaha yang bakal diambil ini sebagai mahu menganaktirikan bahasa Melayu, sebaliknya harus dilihat secara lebih positif ke arah memantapkan kemajuan negara.

Guru-guru bahasa Inggeris yang dihantar untuk mengajar di luar bandar juga perlulah dipilih daripada mereka yang benar-benar komited dengan tugasnya bagi membimbing anak bangsa. Kita tidak mahu mereka sekadar melaksanakan tugas sebagai untuk mendapat upah. Ini sikap yang tidak betul. Mereka perlu memiliki minat yang mendalam, kerana mengajar bahasa tidak sama dengan mengajar mata pelajaran lain. Ia memerlukan penumpuan dan applikasi yang praktikal. Jika guru tidak berminat dan bersungguh-sungguh, sampai bila-bila pun kita tidak akan melihat satu perubahan dalam penguasaan bahasa Inggeris di kalangan masyarakat luar bandar.

Saranan-saranan yang dicadangkan dalam tulisan ini hanyalah sebahagian daripada tindakan yang barangkali boleh diambil. Ia mungkin sesuai dan mungkin tidak dalam keadaan tertentu. Bagaimana pun, kita yakin setiap penyakit ada ubatnya, dan setiap masalah ada penyelesaiannya. Marilah kita sama-sama berfikir untuk itu – demi kebaikan anak bangsa kita.

 
semua maklumat di sini adalah hakmilik semua, sila perbanyakkan lagi
©SIMEE CYBER - http://simee.bravepages.com/ - 2002