Banner di atas tiada kena mengena dengan saya. Ia adalah dari syarikat yang memberi ruang web ini.
Lepak sungguh kat sini

 

Memahami Pengetahuan Komputer dan Internet
Oleh: B.S. Gill

Ramai orang menanyakan kepada saya apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan pengetahuan komputer/internet atau kadangkalanya di panggil literasi komputer atau dalam bahasa Inggeris computer literacy.
Rencana di bawah menurunkan kebanyakan soalan yang lazim ditanyakan (FAQs) berkenaan topik ini dan jawapan - jawapannya. Diharapkan ianya dapat membantu dalam menyangkal andaian salah terhadap pengetahuan komputer/internet dan membantu dalam pemahamannya yang lebih tepat.

Apakah itu Pengetahuan Komputer dan Internet?
Pengetahuan Komputer dan Internet adalah ilmu berkenaan hal - hal dunia perkomputeran dan Internet. Ia merangkumi:-
· ilmu peralatan komputer dan peralatan yang diperlukan untuk penyambungan ke Internet
· khidmat - khidmat berkaitan komputer dan yang terdapat melalui Internet
· perisian yang digunakan oleh komputer dan yang digunakan di Internet
· dunia perniagaan komputer serta perkembangan penting Internet
Mari sekarang kita selidiki dengan lebih dekat ketiga - tiga kandungan pengetahuan komputer/internet yang disebutkan tadi.

Apakah "ilmu peralatan komputer dan Internet" itu?
Bidang komputer peribadi telah berkembang pesat sejak 30 tahun yang lepas dan Internet telah ujud secara asas lebih dari 50 tahun yang lalu. Ini telah melahirkan beribu - ribu jenis peralatan komputer serta Internet dari berbagai rupa-bentuk, corak, warna, fungsi dan jenama.
Bagi yang tidak mengenali, mereka mungkin kebinggungan melihat julat peralatan komputer dan Internet yang begitu luas. Mereka sudah tentu tidak tahu menahu akan apakah sesuatu peralatan komputer/Internet itu, bagaimanakah ianya digunakan dan untuk siapakah ia. Ilmu peralatan komputer dan Internet yang baik akan mendedahkan anda secara sistematik kepada perkembangan peralatan komputer dari mula hingga akhir.
Anda akan mengetahui secara terperinci segala peralatan yang diperlukan untuk penyambungan kepada Internet. Anda akan dapat mengenali jenis peralatan, bagaimana ianya berfungsi dan bagaimana dan bila ianya digunakan. Anda juga akan berkebolehan menilai sesuatu barangan itu samada sesuai atau tidak digunakan untuk sesuatu tujuan. Pendek kata anda akan menjadi orang yang arif berkenaan selok-belok komputer dan Internet.

Kenapakah semua ini penting bagi saya?
Anda mungkin tidak mempunyai komputer dan mungkin tidak pernah menjelajah Internet. Tetapi satu hari nanti adalah berkemungkinan besar anda terpaksa bekerja dengan komputer dan menggunakan Internet.
Tahukah anda bagaimana hendak memasang satu komputer dan memulakan sesuatu perisian? Tahukah anda bagaimana hendak menggunakan ciri - ciri Internet seperti e-mail atau hompej? Ini dan banyak persoalan lagi akan anda ketahui jawapannya melalui ilmu pengetahuan komputer/internet yang baik.
Menunggu sehingga komputer berada di depan mata anda dan baru anda hendak mempelajarinya adalah terlalu lewat. Anda tidak boleh pasti yang anda akan mempunyai masa atau peluang untuk mempelajarinya ketika itu.
Menyediakan diri dengan asas komputer dan Internet adalah amat penting di kala negara sedang giat melancarkan projek Korridor Raya Multimedia (MSC) dan berbagai projek IT yang lain. Semua ini adalah penting bagi menentukan yang anda juga mempunyai tempat di zaman yang semakin berlandaskan teknologi maklumat ini.

Apakah yang dikatakan sebagai "khidmat berkaitan komputer dan khidmat melalui Internet" itu dan bagaimanakah ianya berguna untuk diri saya?
Melalui ilmu ini anda terdedah kepada kegunaan teknologi komputer dan Internet. Komputer hari ini telah memasuki segala aspek kehidupan manusia. Tahukah anda bahawa komputer hari ini membenarkan maklumat seperti bunyi, suara, tulisan, gambar dan video yang dikatakan Multimedia dihantarkan melalui Internet ke luar negara dengan harga yang amat murah? Tahukah anda bahawa lebih 300 juta manusia menggunakan Lebuhraya Maklumat Internet setiap hari untuk berhubung?
Dengan pengetahuan Internet dan komputer ini anda akan dapat mengenali apakah itu yang dikatakan Multimedia dan kelebihan - kelebihannya. Anda juga akan dapat memahami apakah itu Lebuhraya Maklumat Internet yang hebat diperkatakan oleh semua orang. Bagaimanakah semua ini berguna untuk diri anda? Teknologi maklumat sedang berubah dengan cepat sekali.
Jika anda hendak menjadi individu yang maju, anda hendaklah memahaminya dan menggunakannya untuk kebaikan diri anda. Jika anda tidak kejar perkembangan teknologi yang tercanggih di muka bumi ini, nescaya anda akan jadi orang yang ketinggalan zaman. Adakah itu yang anda inginkan untuk diri dan keluarga anda? Bolehkah anda membimbing anak - anak anda kelak ke arah haluan teknologi maklumat jika anda sendiri jahil terhadapnya?

Apakah yang dimaksudkan dengan "ilmu perisian komputer dan Internet"? Untuk apakah ia?
Setiap komputer berfungsi dengan menjalankan perisian atau program komputer. Terdapat berjuta - juta tajuk perisian komputer dipasaran. Sesiapapun yang tidak mempunyai ilmu berkenaan perisian komputer akan kebinggungan, keliru dan mudah terpedaya akan perisian yang manakah yang sesuai dan yang manakah yang harus dibeli.
Ilmu perisian komputer akan menjadikan anda jelas akan apakah itu perisian komputer (computer software), apakah kelas atau jenis sesuatu tajuk perisian itu, adakah ianya sesuai untuk kegunaan anda dan bolehkan ianya dijalan dengan mesin komputer kegunaan anda. Anda tidak akan keliru lagi dengan nama - nama seperti Lotus-123, dBASE, WordStar, MS-Windows 3.11, Windows 95, Windows98, Windows NT, Macintosh System, OS/2 Warp dan sebagainya.
Semuanya akan menjadi senang bagi anda (anda mungkin juga menjadi "juruperunding" bagi kawan - kawan anda!). Anda akan berkebolehan membaca iklan komputer dengan mudah dan memahami bahasa janggal yang digunakan disana. Begitu juga anda akan berkebolehan mengambil mana - mana kotak perisian komputer dan membuat keputusan belian dengan sendiri tanpa banyak bertanyakan kepada jurujual.
Sesetengah jurujual sememangnya ingin menjualkan apa sahaja perisian kepada anda - walaupun ianya tidak sesuai dengan kegunaan dan sistem komputer anda. Dengan itu segara lengkapkan diri anda dengan ilmu yang berharga ini untuk menjadi pengguna, pembeli dan peminat komputer yang bijak!

Apakah itu ilmu "dunia perniagaan komputer dan perkembangan Internet" dan bagaimanakah ianya berguna?
Terdapat berbagai jenis komputer yang dikeluarkan oleh berbagai jenis syarikat. Tahukah anda komputer yang manakah sesuai untuk diri dan keluarga anda? Tahukah anda bahawa perisian - perisian untuk Windows 95 tidak boleh dijalankan oleh komputer Apple Macintosh.
Sesetengah syarikat mengeluarkan berbagai jenama barangan komputer tetapi hanya ditujukan kepada segelintir masyarakat sahaja. Syarikat Hewlett Packard mengeluarkan berbagai jenama komputer untuk kegunaan industri pembuatan sahaja. Syarikat manakah yang mengeluarkan barangan komputer untuk kegunaan umum?
Disinilah ilmu dunia perniagaan komputer menjadi penting. Dengannya anda akan mengenali dan mengetahui dengan terperinci dan tepat syarikat - syarikat terbesar dalam industri komputer serta keluaran dan kepakaran mereka.
Kualiti barangan komputer juga sering bergantung dengan syarikat pengeluar. Intel adalah pengeluar pemproses komputer yang terkenal. Tetapi tahukah anda selain dari Intel, AMD, IBM, Motorola dan Cyrix juga mengeluarkan pemproses komputer yang setanding dengannya? Jadi dengan mengetahui akan syarikat - syarikat komputer, anda akan mempunyai pilihan yang lebih untuk barangan komputer anda.
Dengannya juga anda akan lebih mudah mengenali barangan baik dari yang kurang baik. Anda juga tidak akan keliru dengan jenama - jenama yang mempunyai nama yang hampir - hampir sama. Syarikat - syarikat komputer juga sering mengalami rombakan dan perubahan. Compaq, salah satu syarikat pengeluar komputer terbesar didunia telah membeli dan mengambil alih syarikat Digital - satu perintis bidang teknologi maklumat.
Jadi jika anda memiliki komputer Digital, anda pasti hairan melihat kedai Digital anda berubah nama kepada Compaq. Dan jika anda tidak mengetahui akan perkembangan semasa bagaimanakah akan anda memahami apa yang berlaku disekeliling anda? Ilmu dunia perniagaan komputer dan Internet juga akan membenarkan anda memahami berita - berita ekonomi di dalam dan luar negara dengan lebih mendalam. Tidakkah ini akan menjadikan anda seorang yang lebih arif dan berpengetahuan luas?

Tidak bolehkah saya perolehi ilmu ini dari rakan - rakan saya?
Ada sudah tentu boleh menanyakan kawan - kawan dan rakan - rakan anda berkenaan pengetahuan tentang komputer dan Internet. Tetapi sampai bilakah anda akan berbuat demikian? Bagaimanakah akan anda yakin yang maklumat yang anda terima itu adalah betul dan terkini?
Dan apakah akan anda buat jika mereka sendiri tidak mengetahui? Tidakkah lebih baik jika anda berdiri atas kaki sendiri dan bertekad untuk mempelajarinya sendiri tanpa bergantung dan menggangu orang lain?
Mempelajari pengetahuan komputer dan ilmu Internet dengan cara menanya - nanya juga akan mengambil masa yang lebih dan oleh kerana anda tidak ada bahan yang boleh dijadikan rujukan, anda mungkin lupa banyak yang anda pelajari. Apakah anda akan buat jika ini berlaku? Bertanyakan lagi?

Apakah gunanya ilmu pengetahuan komputer jika saya tidak mempunyai komputer?
Perlukah anda memiliki kereta sebelum mempelajari bagaimana hendak memandunya? Sudah tentu tidak! Ramai yang mempunyai lesen motorsikal, kereta, bas bahkan lori pun tetapi tidak ada satu kenderaan pun atas nama mereka. Jelas bahawa mereka ini percaya kepada menimpa ilmu dahulu untuk digunakan dihari kemudian.
Kegunaan komputer sedang begitu berleluasa sehingga masa sudah tiba dimana semua orang akan menggunakan komputer di satu ketika atau lain dalam hidup mereka.

Adakah hanya pada ketika itu anda akan mempelajari apakah itu komputer dan bagaimana menggunakan Internet? Tidakkah ini merugikan anda?
Pengetahuan komputer dan Internet yang anda porelehi hari ini akan menguntungkan anda berlipat kali ganda di hari kemudian apabila anda terpaksa bekerja dengan komputer dan menggunakan Internet. Ia akan membantu anda membuat keputusan belian atau merancang kerjaya atau pembelajaran anda hari ini dan untuk anak - anak anda esok. Oleh itu jadilah orang yang bijak, sediakan satu "lesen" komputer untuk diri anda hari ini!

Dari manakah harus saya mendapatkan ilmu Internet yang lengkap, terkini dan mudah difahami oleh saya?
Jika anda inginkan ilmu internet yang lengkap dan terkini dan ditulis di dalam bahasa Melayu yang mudah difahami oleh sesiapa juga, tidak ada tempat yang lebih baik dari mendapatkan buku Pelajari Internet Dalam 12 Jam keluaran Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.
Buku ini akan membawa anda langkah demi langkah dari seorang yang tidak mengetahui apa - apa langsung tentang Internet kepada seorang yang boleh digelar "pakar" oleh rakan - taulan anda.

Hakcipta Terpelihara
B.S.Gill dan Internet12Jam
1999

 
semua maklumat di sini adalah hakmilik semua, sila perbanyakkan lagi
©SIMEE CYBER - http://simee.bravepages.com/ - 2002