Banner di atas tiada kena mengena dengan saya. Ia adalah dari syarikat yang memberi ruang web ini.
Lepak sungguh kat sini

 

Huraikan bagaimana jangkaan guru boleh mempengaruhi prestasi seseorang pelajar

1.0 Pengenalan

Perbezaan individu di kalangan murid bolehlah dianggap perkara semula jadi. Ia boleh berlaku pada sebarang peringkat umur iaitu sama ada kanak-kanak atau orang dewasa. Di peringkat sekolah menengah rendah, sistem pendidikan di negara kita cuba membuat pembezaan atau pengaliran tertentu, iaitu khasnya berdasarkan prestasi seseorang pelajar. Pengaliran yang paling ketara sekali di negara kita ialah menempatkan pelajar-pelajar yang cerdik di sekolah-sekolah elit seperti Sekolah Menengah Sains, Maktab Rendah Sains Mara, Sekolah Menengah Teknik dan Sekolah Menengah Asrama Penuh yang lain.

Manakala di peringkat sekolah pula, pelajar-pelajar dibahagikan ke kelas-kelas berdasarkan ukuran prestasi pelajar berdasarkan peperiksaan tahunan. Misalnya, selepas PMR pelajar dialirkan kepada beberapa jurusan seperti aliran sains, teknikal, agama dan biasa namun di dalam setiap jurusan tersebut juga mengandungi kelas yang terbaik dan kurang baik. Hal ini berlaku kerana ia berkait rapat dengan anggapan guru terhadap prestasi pelajar secara umumnya.

2.0 Definisi konsep

Kamus Dewan Edisi Ketiga (1994) mendefinisikan jangkaan ialah sebagai suatu bentuk dugaan atau ramalan. Dalam hal ini, ia berkait rapat dengan ramalan atau jangkaan guru terhadap prestasi pelajar dalam bidang akademik di sekolah.

Menurut Kamus Dewan Edisi Ketiga (1994) guru bermaksud pembimbing atau pendidik yang menyampaikan ilmu. Dalam konteks ini, guru sentiasa bersedia merancang unit-unit pengajaran, memotivasikan serta menilai pelajar dari semasa ke semasa.

Prestasi pelajar bermaksud hasil yang telah diperoleh atau dicapai oleh seseorang pelajar. Dalam kajian ini, ia merujuk kepada hasrat guru untuk melihat peningkatan prestasi pelajar dalam bidang akademik keseluruhannya..

3.0 Jangkaan Guru

Mengikut Sharifah Alawiyah (1987), terdapat beberapa jenis atau bentuk pengaliran dan pembezaan yang biasa dilaksanakan di sekolah atau bilik darjah dalam sistem pendidikan sesebuah negara, iaitu pengaliran, bukan pengaliran, pengaliran berband (banding) dan pengaliran tersembunyi, pengaliran berset (setting) dan pengaliran bergred (grading)

Rentetan dari sistem pendidikan yang wujud di negara kita seperti bentuk pengaliran dan pembezaan yang biasa dilaksanakan telah membawa kesan dan ia berkait rapat dengan jangkaan guru terhadap prestasi seseorang pelajar di sekolah.

3.1 Tindakan guru apabila jangkaan prestasi pelajar telah dibuat

3.1.1 Pengaliran Berband (Banding)
Apabila berlakunya situasi yang sedemikian, lazimnya guru akan mengumpulkan pelajar secara tidak saksama iaitu yang pandai serta lemah, sedikit dan lebih ramai yang mempunyai pencapaian sederhana di dalam kelas.

3.1.2 Pengaliran Tersembunyi (Convert)
Pengaliran jenis ini ialah tidak berdasarkan penilaian kebolehan, tingkah laku dan latar belakang keluarga sebaliknya ia berdasarkan kriteria atau pandangan guru yang tersendiri. Biasanya pada peringkat murid-murid yang baru masuk ke sekolah rendah atau Darjah Satu, guru telah membuat pemilihan berdasarkan tingkah laku atau pandangan serta kepercayaan guru sendiri. Kumpulan tersebut biasanya dikekalkan untuk beberapa tahun.

3.1.3 Pengaliran Berset (Setting)
Mengumpulkan murid berdasarkan kebolehan mata pelajaran tertentu. Misalnya murid yang mendapat pencapaian yang baik dalam mata pelajaran Matematik dan Sains dalam PMR bolehlah diletakkan ke kelas aliran sains. Di Malaysia pengaliran banyak bermula pada Tingkatan Empat.

3.1.4 Pengaliran Bergred
Pengumpulan jenis ini ialah berdasarkan kemajuan dan pencapaian pelajar dan bukan berdasarkan ukuran kebolehan atau umur. Ia banyak dilaksanakan di Amerika dan Rusia.

4.0 Implikasi Jangkaan guru Terhadap Prestasi Pelajar

Kajian tentang jangkaan guru telah dibuat oleh Palardy (1967) tentang kebolehan pelajar membaca di sekolah USA dan tersiar dalam Elementary School Journal yang bertajuk ' what teacher believe-what children achive'. Mengikut pendapat beliau, pelajar lelaki yang belajar dengan guru yang menjangkakan pencapaian sama dengan pelajar perempuan maka menunjukkan ada berlaku peningkatan. Sebaliknya kalau guru tidak meramalkan pelajar lelaki adalah sama atau lemah dengan perempuan maka pencapaian pelajar lelaki dalam sesuatu ujian tidak akan meningkat.

Sementara itu, mengikut Leigh (1977), pelajar mungkin tidak percaya terhadap jangkaan negatif yang dibuat oleh guru dan mereka boleh mengubahkan tingkah lakunya ke arah pencapaian yang lebih baik.

Mengikut pendapat Dor-Bremme (1991), sudah menjadi kelaziman kepada guru-guru apabila mereka melihat pencapaian murid-murid dalam pendidikan adalah lemah maka dengan mudah pelajar dilabelkan sebagai lemah dan tidak ada harapan boleh maju.

Menurut kajian Nash di sekolah rendah dan menengah di Scotland mendapati bahawa tingkah laku murid berdasarkan jangkaan guru. Sebagai contoh kalau guru menjangka pelajar adalah baik maka tingkah laku murid akan menunjukkan kebaikan walaupun mereka berada di mana-mana pun, dan pendapatnya lagi bahawa pelajar menunjukkan tingkah laku yang tidak baik oleh sebab guru tidak menaruh harapan yang mereka adalah berkelakuan baik.

5.0 Perbincangan

Telahan guru terhadap prestasi seseorang pelajar perlu positif kerana dalam hal ini pelajar yang lemah akan terus menjadi mangsa dan merasa terpinggir. Mereka bukan sahaja diajar oleh guru-guru yang kurang pandai tetapi juga guru-guru yang berkenaan tidak akan menjangkakan mereka akan menjadi pelajar yang pandai. Akibatnya kemajuan mereka sukar untuk meningkat dan kemungkinan besar jika pada masa Tingkatan Satu sekumpulan pelajar diletakkan di kelas yang tercorot maka begitulah nasib mereka sehingga sampai ke Tingkatan Tiga.

5.1 Ciri-ciri jangkaan yang dibuat oleh guru
i Ada yang tepat dan ada yang tidak tepat.
ii Murid-murid akan menunjukkan pencapaian berdasarkan harapan dan jangkaan daripada guru.
iii Seandainya jangkaan yang dibuat oleh guru tidak tepat akan menimbulkan masalah kepada guru kemudiannya.
iv Kebanyakan jangkaan yang dibuat oleh guru adalah lebih tepat jika dibandingkan dengan masyarakat
v Jangkaan guru mungkin ada hubung kait dengan jantina.
vi Guru perlu menaruh atau menjangka harapan yang lebih tinggi agar mereka dapat berusaha dengan bersungguh-sungguh.
Jangkaan guru ke atas prestasi seseorang pelajar turut memberi kesan kepada pelajar yang telah ditempatkan di kelas-kelas yang tertentu. Sebagai contoh pelajar yang diletakkan di kelas aliran sains semestinya dianggap oleh guru sebagai pelajar yang boleh mencapai keputusan peperiksaan yang memberangsangkan. Akibat yang timbul dari keadaan ini ialah pelajar mungkin akan rasa tertekan kerana guru mengharapkan pencapaian yang tinggi.

Begitu juga jangkaan guru kepada seseorang pelajar menjelang peperiksaan adalah berbeza di mana guru tidak mengharapkan sangat kepada pelajar yang lemah untuk mendapat keputusan yang baik. Dengan ini pelajar yang lemah merasa tidak yakin oleh sebab tidak adanya rangsangan dari gurunya sendiri. Sedangkan pelajar yang terpilih ke kelas yang bijak, jangkaan guru terhadap mereka adalah lebih tinggi dan bersifat positif.

6.0 Cadangan

Sebagai seorang guru, ia perlu menaruh harapan yang lebih baik kepada pelajar di bawah bimbingannya. Setiap tanggapan yang negatif perlu diubah. Berilah motivasi yang tinggi kepada seseorang pelajar agar minat dan prestasi mereka akan meningkat dari semasa ke semasa.

Untuk mengelakkan anggapan guru terhadap prestasi pelajar menjadi negatif, guru boleh membuat kaedah seperti meletakkan berbagai-bagai kebolehan atau tahap para pelajar di sesebuah kelas. Para pelajar tersebut boleh dikumpulkan menjadi dua atau kumpulan untuk mata pelajaran yang penting sahaja. Dengan cara tersebut pelajar yang kurang pandai boleh bersaing dengan yang pandai. Sementara pelajar yang pandai tidak akan terjejas walau di mana mereka diletakkan. Untuk itu guru bolehlah membuat latihan di alam kelas yang mempunyai murid yang berbeza-beza tahap kebolehan.

Stail atau gaya pembelajaran perlu difikirkan juga kerana sesetengah pelajar yang lemah dapat belajar dengan bersemangat sekiranya mereka dikumpulkan secara beramai-ramai. Di Amerika Syarikat kaedah Student Team Learning (STL) dan Cooperative Learning Approaches (CLA) telah dimulakan pada pertengahan tahun 1980-an. Kaedah ini telah diperkenalkan oleh David dan Roger Johnson (1984), Elizabeth Cohen (1986), Robert Slavin dan beberapa orang tokoh yang lain.
7.0 Kesimpulan

Sememangnya pencapaian seseorang pelajar di sesebuah sekolah sedikit sebanyak dipengaruhi oleh jangkaan atau label yang dianggapkan oleh guru. Walau bagaimanapun sesuatu jangkaan yang dibuat oleh guru tidak semestinya berlaku seratus peratus kepada pelajar.

Namun begitu, harapan dan anggapan guru juga boleh mempengaruhi prestasi pelajar. Perbezaan anggapan guru boleh menerangkan sekurang-kurangnya sebahagian dari kesan iklim sekolah ke atas pencapaian di samping menerangkan tentang kesan latar belakang sosioekonomi sesebuah sekolah.

Walaupun ada bukti bahawa beberapa orang guru sekurang-kurangnya mempunyai jangkaan yang berlainan untuk kumpulan pelajar yang berlainan dan anggapan ini boleh menghasilkan perbezaan dalam prestasi pelajar. Kebanyakan dari kajian ini tidak mempunyai reka bentuk yang dapat membantu kita untuk mengetahui bagaimana anggapan ini berhubung dengan pelajar dan mempengaruhi kejayaannya. Untuk tujuan ini kita perlu melihat kajian yang berkaitan secara langsung dengan proses interaksi di bilik darjah.


Bibliografi

Amir Hasan Dawi. 2002. Penteorian Sosiologi Dan Pendidikan. Perak: Quantum Books.

Ee Ah Meng. 1994. Psikologi Dalam Bilik Darjah. Kuala Lumpur: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.

Haji Zainal Abidin Safarwan. 1994. Kamus Dewan Edisi Ketiga. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka.

Mohd Salleh Lebar. 1998. Pengenalan Ringkas Sosiologi Dan Pendidikan. Selangor: Thinker's Library Sdn. Bhd.

Mohd Salleh Lebar. 1994. Asas Psikologi Perkembangan. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributor Sdn. Bhd.

Olive Banks.1987. Sosiologi Pendidikan (terjemahan). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka.

Saedah Siraj, Zainun Ishak dan Tunku Mohani Tunku Mokhtar. 1996. Siri Pengajian Dan Pendidikan Utusan ;Motivasi Dalam Pendidikan. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributor Sdn. Bhd.

Sharifah Alwiah Alssagoff . 1987. Ilmu Pendidikan Pedagogi. Kuala Lumpur: Heinemann (Malaysia) Sdn. Bhd.

T. Marimuthu. 1990. Pengenalan Sosiologi Pendidikan. Selangor: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.

 
semua maklumat di sini adalah hakmilik semua, sila perbanyakkan lagi
©SIMEE CYBER - http://simee.bravepages.com/ - 2002