Make your own free website on Tripod.com
Banner di atas tiada kena mengena dengan saya. Ia adalah dari syarikat yang memberi ruang web ini.
Lepak sungguh kat sini

 

Pendahuluan

Definasi Etika

            Perkataan etika berasal daripada Bahasa Inggeris “ethic”. Perkataan ethic itu pula dari bahasa Greek ethos yang membawa maksud sikap atau adat yang menentukan tingkah laku sesuatu golongan. Ia terbahagi kepada dua:

            i) Normatic iaitu panduan dan peraturan yang berkaitan dengan tingkah laku yang baik dan jahat.

          ii) Matacthic iaitu yang terbahagi kepada dua : analitic yang berfungsi menganalisis semua peraturan yang berkaitan tingkah laku baik atau jahat dan critical yang berfungsi untuk mengkritik terhadap apa-apa yang telah dianalisis. Tujuannya ialah untuk memperkukuhkan lagi etika. (Mustafa Haji Daud - Etika Pengurusan  1996)

            Etika merupakan displin falsafah yang memberi perhatian khusus kepada penilaian kritikal terhadap norma dan piawai yang mewajarkan kelakuan perseorangan serta antara individu. (Abdul Rahman Md. Aroff - Teori Etika dan Amalan Moral 1999)  

            Guru merupakan agen moral, kerana mereka terlibat dengan manusia yang mempunyai unsur nilai iaitu nilai baik atau jahat. Berdasarkan Falsafah Pendidikan Negara mempunyai matalamat untuk memenuhi tuntutan “JERI”  mewujudkan insan yang seimbang (holistik) dari segi Jasmani, Emosi, Rohani dan Intelek. Keadaan ini sudah tentunya memerlukan satu tatasusila/etika yang perlu diikuti oleh semua guru. Setiap organisasi perlu mempunyai kod etika profesion sebagi panduan tingkah laku setiap ahli.

            Bidang pendidikan juga tidak dapat lari dari membina kod etikanya sendiri. Kementerian Pendidikan Malaysia membina kod etika ini menggunakan istilah Tatasusila Profesion Perguruan Malaysia.

            Guru memainkan peranan penting dan merupakan nadi kepada pembentukan manusia. Guru sangat perlu bagi melahirkan insan yang seimbang dari semua segi. Pembangunan insan harus diseimbangkan agar nilai-nilai moral masyarakat supaya sentiasa terpelihara. Mahathir (1999), guru-guru dituntut agar mempunyai sahsiah dan akhlak yang boleh diteladani oleh pelajar dan masyarakat di samping menguasai pelbagai ilmu, antara lain dalam bidang yang berkaitan dengan teknologi maklumat, bahasa dan kemahiran berkomunikasi.

            Guru memainkan peranan yang amat penting dalam membentuk watak, sahsiah dan moral pelajar. Usaha ini perlu dimulakan dengan mewujudkan sekolah dengan watak yang dapat dibanggakan oleh para pelajar, ibu bapa dan masyarakat setempat. Pembangunan insan cemerlang menjadi begitu penting sekali bagi negara yang akan menjadi negara maju pada awal abad yang akan datang.

             Abdul Shukor (1999), asuhan guru yang berkesan meninggalkan ingatan dan menjadi amalan yang berpanjangan bagi setiap murid. Sepanjang hayatnya mereka akan ingat bagaimana guru-guru menerap ilmu pengetahuan, budaya dan semangat ketahanan, nilai-nilai murni dan jati diri sehingga sebati dalam jiwa. Dalam konteks ini guru merupakan manusia yang telah diamanahkan untuk membentuk generasi pelajar yang berilmu, beriman dan bertakwa.

            Matalamat untuk mewujudkan sistem pendidikan bertaraf dunia dan memjadikan Malaysia pusat kecemerlangan pendidikan di rantau ini merupakan tanggungjawab semua warga Kementerian Pendidikan Malaysia. Jesteru itu satu, Etika Profesion Perguruan Malaysia dan Etika Kerja yang mantap perlu diamalkan untuk memastikan warga Kementerian Pendidikan Malaysia mempunyai sifat-sifat luhur, bertanggungjawab, dan tahap profesionalisme yang tinggi dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab masing-masing.

            Berpandukan kepada kod etika profesion perguruan ini guru dapat menjalankan tugas yang diamanahkan mengikut panduan yang menjadi pegangan setiap warga Kementerian Pendidikan Malaysia berdasarkan nilai-nilai akhlak mulia. Etika ditakrifkan sebagai “satu cabang ilmu pengetahuan yang berurusan dengan apa yang baik dan tidak baik dan dengan kewajiban dan tanggungjawaj moral”.  (Harold Koontz & Heinz Weihrich - Pengurusan terjemahan Mohd Salmi Mohd Sohod & Siti Nadzrah Sheikh Omar -DBP) 

            Etika mempunyai kedudukan dan fungsi yang istimewa dalam organisasi. Walaubagaimana cekap sekalipun pengurusan, sememangnya tidak bererti jika tidak dibaluti dan diikat dengan etika pengurusan yang sempurna. Etika akan melahirkan budaya kerja yang cemerlang, perkhidmatan cemerlang dan barangan yang berkualiti. Etika ini akan bererti jika ianya mematuhi nilai-nilai moral.

            Perbincangan yang akan dibincangkan dalam bab ini hanya meliputi Tatasusila (Etika) Profesion Perguruan Malaysia supaya ianya dapat dijadikan sebagai panduan untuk melihat kepada keberkesanan etika ini dalam menjadi amalan setiap warga pendidik.

            “Bagi menjaga nama baik profesion perguruan serta meningkatkan lagi mutu profesion, maka kod etika telah pun disediakan. Kod etika ini telah pun disediakan dalam bentuk ikrar dan  lazimnya tercetak di halaman depan buku persediaan mengajar guru”. (Ee Ah Meng  Pendidikan Di Malaysia Untuk Guru Pelatih 1989)

(Lampiran yang dilampirkan merupakan rujukan Tatasusila (Etika) Profesion Perguruan Malaysia sebagi rujukan kritis).

1.      TANGGUNGJAWAB TERHADAP PELAJAR.

          1.1    Lebih mengutamakan kebajikan dan keselamatan pelajar kami daripada hal-hal lain.

                   Ciri ini adalah merupakan hasrat yang sepatutnya diamalkan. Tetapi adakah ciri ini sebenarnya berlaku.  Realiti yang berlaku guru banyak mengajar displin mata pelajaran ke arah mencapai kelulusan yang cemerlang dalam peperiksaan. Jadi di mana akan berlaku perubahan moral. Sepatutnya guru mengimbangi antara kecemerlangan akademi dengan kebajikan dan keselamatan pelajar.  Etika sudah ada secara teori tetapi yang mempunyai aspirasi tersendiri. Tetapi realiti sebenar yang berlaku di sekolah tidak seperti yang diharapkan.

          1.2    Bersikap adil terhadap setiap orang pelajar tanpa mengira faktor-faktor jasmani, mental, emosi, politik, ekonomi, sosial, keturunan atau agama.

            Sepatutnya semua guru bersikap adil dan saksama ke atas semua pelanggang (pelajar) dengan mengenepikan semua unsur-unsur lain. Tetapi apa yang realiti berlaku di sekolah di mana kelas yang pandai biasanya diberi penekanan yang lebih supaya pelajar dapat perstasi yang cemerlang manakala kelas yang terbelakang penekanan kurang dibuat.

            Pembelajaran dilakukan secara Mastery Learning untuk lulus dalam peperiksaan.

    1.3  Merahsiakan maklumat ikhtisas atau sulit mengenai pelajar kecuali kepada mereka yang berhak mengetahuinya.

           Menjaga kerashiaan dan mengambil langkah-langkah menyimpan kerahsiaan adalah penting demi untuk menjaga maruah pelajar. Segala maklumat tidak boleh disebarkan kepada pihak ke tiga kerana mungkin akan didedahkan kepada pihak yang lain pula dan dengan ini kerahsiaan tidak akan terjamin. Apa yang realitinya berlaku di sekolah hanyalah Unit Bimbingan dan Kaunseling sahaja yang memegang kepada kod etika ini manakala yang lainnya menganggapkan perkara kerashiaan adalah perkara biasa.

    1.4  Membimbing atau mengajar seseorang pelajar dalam darjah sendiri atau dalam mata pelajaran yang diajar di bilik darjah tanpa sebarang bayaran.

           Sememangnya berlaku demikian di sekolah kerana guru telah mendapat gaji tetap secara bulanan. Namu pun begitu sekiranya berlaku kelas tambahan maka biasanya guru-guru di bayar elaun khas melalui Persatuan Ibubapa dan Guru-guru (PIBG). PIBG memainkan peranan memberi sedikit bayaran lain sebagai inesatif kepada guru-guru. Ee Ah Meng (1989)

          “Guru hendaklah mengelakkan diri daripada menerima sebarang hadiah dari ibubapa pelajar dalam menjalankan tugas-tugas profesionalnya” 

    1.5  Memelihara dan memperbaiki kecekapan ikhtisas melalui pengkajian, penyelidikan, lawatan dan menghadiri kursus ikhtisas, persidangan, mesyuarat atau seminar supaya pengajaran kami mencapai mutu yang setinggi-tingginya.

           Mohamad Sani Ibrahim (1994), berpandukan kehadiran guru-guru dalam kursus dalam perkhidmatan, jumlah kecil kurang dari 1% daripada populasi keseluruhan. (Petikan Suara Guru Jilid 20 No.2 Sept 1998). Walaupun perkara ini sangat penting dalam meningkatkan mutu pendidikan tetapi penekanan kurang dibuat oleh Kementerian Pendidikan. Perancangan tentang hal ini hanya berlaku pada tahun 1979-1980 apabila IAB ditubuhkan. Sebelum ini tidak ada institusi khas yang ditubuhkan untuk memberi latihan semula kepada guru-guru setelah meraka menamatkan pengajian. Kebanyakan guru-guru yang mengajar, mengajar “on-the job”  di mana pengalaman didapati melalui kerja yang dilakukan. Kursus-kursus profesional dan vokasional jangka panjang tidak banyak dilakukan.

          Kebanyakan guru-guru sibuk dengan tugas-tugas harian dan tidak mempunyai masa untuk terlibat sepenuh masa dalam program-program di atas. Tanpa pengelibatan guru dalam perkara di atas maka adalah sukar untuk melaksanakan program-program pembaharuan, perubahan dan refomasi.            

         Sepatutnya guru-guru didedahkan dengan perkara ini supaya dapat membuat keputusan yang bijak dan cepat, memenuhi keperluan dan selera pelajar, mengikut piawai dan kualiti yang diiktiraf, kamampuan bertanding dan membuat penilaian berasaskan produktiviti dan penyempurnakan sasaran dan objektif. Berasaskan kepada perkembangan Teknologi Maklumat

         (IT) masa kini dan pengurusan dalam era teknologi maklumat masa kini maka perancangan strategik perlu dilakukan supaya perubahan sikap dapat berlaku melalui faktor ini.

  1.6  Menunjukkan suatu cara pakaian pertuturan dan tingkahlaku yang dapat memberi contoh yang baik kepada pelajar.              

          Ciri ini sememangnya amat dituntut kerana tingkahlaku guru akan menjadi ikutan pelajar seperti kata pepatah “Jika guru kencing berdiri maka murid kencing berlari”  dan tidak berlaku seperti ketam menyuruh anaknya berjalan lurus. Segala bentuk perlakuan dan watak guru biasanya akan diikuti oleh pelajar. Pada kebiasaannya guru mengamalkan perkara ini.     

          Guru mesti mempunyai pribadi yang mulia, berbudi pekerti dan perwatakan yang baik.  Guru hendaklah sensitif terhadap persekitaran kerja dan alam sekeliling dan berusaha menyesuaikan dengan keadaan sekeliling kerana setiap perkembangan guru akan dinilai oleh pelajar dan masyarakat.                     

        Ee Ah Meng (1989)  Dalam keadaan biasa guru lazimnya didewa-dewakan oleh kaum pelajar. Dia dianggap sebagai individu yang yang idel, berstatus dan berkelayakan. Oleh itu tingkah laku guru sentiasa dicontohi oleh pelajarnya. Situasi seperti ini yang menyebabkan orang ramai menaruh harapan terhadap guru untuk menonjolkan tingkah laku yang unggul bagi pelajarnya.

       Dalam keadaan ini:

           * Guru perlu menunjukkan penampilan diri, peraturan dan perbuatan yang terbaik sepanjang masa.

           *  Berusaha agar amalan dapat menonjolkan ciri-ciri kecemerlangan dan kualiti yang boleh menjadi sumber inspirasi kepada pelajar.

           *  Menampilkan diri sebagai orang yang dinamik, maju berdaya saing dan dapat mendorong seseorang berkelakuan baik. 

2.  TANGGUNGJAWAB TERHADAP IBUBAPA.

      2.1 Menghormati tanggungjawab utama ibubapa terhadap anak-anak merka.

            Sememangnya tanggungjawab utama mendidik anak-anak merupakan tanggungjawab ibubapa. Tetapi apa yang berlaku sekarang ini terdapat ibubapa yang meletakkan tanggungjawab utama ini kepada guru-guru. Lebih-lebih lagi jika anak-anak mereka belajar di sekolah asrama sejak  tingkatan satu lagi, maka tanggungjawab ini lebih diberikan kepada guru-guru.

     2.2  Berusaha mewujudkan hubungan mesra dan kerjasama yang erat di antara institusi pendidikan dengan rumahtangga.

              Guru berusaha mewujudkan keadaan ini melalui Persatuan ibubapa dan guru-guru dan aktiviti kemasyarakatan di peringkat sekolah seperti mengadakan aktiviti gotong royong Sambutan Hari Ucapan dan Penyampaian Hadiah, Hari Keluarga, Hari Terbuka dan lain-lain lagi. Namupun demikian bukannya semua guru dan   ibubapa  yang hadir. Keadaan ini berlaku maka susahlah untuk diterapkan nilai moral secara menyeluruh.  

    2.3 Menggangap  semua maklumat yang diberikan oleh ibubapa mengenai keadaan rumahtangga atau mengenai anak mereka sebagai sulit dan tidak akan membocorkan kepada sesiapa kecuali mereka yang berhak mengetahuinya .

          Pada kebiasaanya di peringkat ini kerashiaan hanyalah diamalkan oleh konselor sekolah manakala yang lainnya menggangapkan perkara ini suatu perkara yang biasa. 

    2.4 Memberi maklumat kepada ibubapa demi kepentingan anak-anak mereka, dan menggunakan maklumat yang diterima daripada ibubapa secara  teliti dan bijaksana.

          Dalam hubungan ini segala maklumat seperti keputusan peperiksaan dalaman, aktiviti ko-kurikulum perlulah dihantar kepada ibubapa supaya mereka juga dapat mengetahui kedudukan anak-anak mereka di sekolah dan kadangkalanya perbincangan perlu dilakukan dengan ibubapa/penjaga bagi mereka mengetahui kedudukan anak-anak mereka di sekolah tetapi perkara ini jarang dilakukan di sekolah.

          Kesempatan ini patut digunakan oleh guru untuk mendapat latar belakang pelajar-pelajar supaya boleh dijadikan panduan untuk mengatasi kelemahan pelajar.   

    2.5 Mengelakkan diri dari menggunakan atau dipengaruhi oleh kedudukan sosiol dan ekonomi pelajar.

          Setiap pelajar adalah sama dan tidak perlu diberi keutamaan kepada mana-mana pelajar. Di Jepun contohnya semua pelajar diberi makanan yang sama semasa rehat supaya tahap pemakanan pelajar di sekolah adalah seimbang dan kecerdasan pelajar adalah sama. Projek program susu sekolah yang dilancarkan oleh Kementrian Pendidikan Malaysia mempunyai matlamat yang sama. Pelajar mestilah dilayani  sama rata. 

Pencapaian kanak-kanak di sekolah juga dipengaruhi oleh latar belakang keluarga. Faktor latar belakang keluarga merangkumi unsur seperti harapan ibu bapa, kemodenan, kelebihan kemudahan ibu bapa, status sosioekonomi, jarakdari sekolah dan daerah tempat tinggal. Ee Ah Meng (1989)  Kajian keciciran telah menunjukkan bahawa keluarga yang miskin juga merupakan keluarga yang kurang moden dan rendah pula motivasi pendidikannya.

        Dalam hubungan ini jika mereka tidak diberi layanan yang sama rata maka sudah tentulah pencapaian mereka akan terjejas. Motovasi yang rendah memang akan menjejaskan dorongan kanak-kanak untuk belajar dengan tekun dan dengan ini pencapaian persekolahan akan juga terjejas.  

    2.6  Mengelakkan diri daripada mengeluarkan kata-kata atau melakukan sesuatu yang boleh menjejaskan kepercayaan pelajar terhadap ibubapa atau penjaga mereka. Guru mestilah bersifat neutral dan tidak boleh menghasut pelajar supaya membenci ibu bapanya. Sebagai contoh apa yang berlaku sekarang ada dikalangan pelajar yang memberitahu ibu bapa mereka supaya membenci kerajaan kerana dihasut oleh guru mereka. Keadaan seperti ini tidak sepatutnya berlaku dikalangan guru-guru.  Ee Ah Meng (1989)

           Guru hendaklah menanamkan sikap baik di kalangan pelajar agar mereka membesar menjadi warganegara yang berguna dan taat setia kepada keluarga dan negara.

     3.  TANGGUNGJAWAB TERHADAP MASYARAKAT DAN NEGARA.   

           3.1 Mengelakkan diri dari menyebarkan sesuatu ajaran yang yang boleh merosokkan kepentingan pelajar, masyarakat atau negara, ataupun yang bertentangan dengan Rukunnegara.

              Sepatutnya guru mendidik, mencorok, membimbing disamping memberi ilmu supaya pelajar dapat berfungsi dalam masyarakat dengan penuh tanggungjawab dan harmonis. Tetapi apa yang berlaku:

                  * Ada guru yang menerapkan nilai, kepercayaan dan fahaman mereka sendiri seperti apa yang berlaku guru membawa bersama-sama pelajar dalam gerakan refomasi.

                 *  Mereka juga membentuk pelajar mengikut apa yang  mereka fikirkan betul.

                 *  Kadangkala terdapat fahaman guru berkonflik dengan hasrat dan aspirasi Falsafah Pendidikan Negara atau Tatasusila Profesioan Perguruan Malaysia. Keadaan seperti ini tidak sepatutnya wujud dikalangan guru-guru.

     3.2  Memupuk dalam diri setiap pelajar sikap dan nilai nilai yang  boleh membantu dan membimbing mereka menjadi warganegara yang yang taat setia, bertanggungjawab dan berguna menghormati orang tuan dan menghormati adanya perbezaan kebudayaan, keturunan dan agama. Perkara ini biasanya dibentuk melalui kegiatan ko-kurikulum di sekolah, di mana pelajar diasuh menghormati ketua.

          Kegiatan ko-kurikulum boleh membantu pelajar dalam menanam sikap suka tolong menolong, melakukan amal kebajikan,menjauhi perkara keji,dan merupakan etika yang  mulia yang dapat dilahirkan melalui kegiatan ko-kurikulum.

          Semua pelajar dari pelbagai kaum akan menyertai aktiviti-aktiviti ko-kurikulum seperti persatuan, unit beruniform, sukan dan olahraga. Dengan ini semangat bersama, toleransi, bertimbang rasa akan dapat dipuput. Guru-guru dan pelajar memahami antara satu sama lain dan dengan ini dapat memupuk semangat bersama di kalangan pelajar berbilang kaum dan perpaduan akan dapat dipupuk. Apa yang realitinya           berlaku ada dikalangan pelajar yang tidak menyertai kegiatan ini maka sukarlah untuk memupuk perkara ini secara menyeluruh. Guru sepatutnya dapat membentuk pelajar menjadi warganegara yang taat setia, berguna serta menghormati perbezaan kebudayaan, keturunan dan agama.          

      3.3  Menghormati masyarakat tempat kami berkhidmat dan memenuhi segala tanggungjawab sebagai warganegara dan sentiasa sanggup mengambil bahagian dalam sebarang kegiatan masyarakat.

           Dalam setiap program sekolah sepatutnya masyarakat  setempat tidak dilupakan. Tetapi apa yang berlaku di sekolah di mana pihak pentadbiran lebih kepada penunjulan diri di peringkat jabatan seperti Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Jabatan Pendidikan Daerah (PPD) tanpa menjemput masyarakat setempat. Sepatutnya jika diadakan majlis rasmi sekolah seperti Maulidul Rasul, Maal Hijrah, Hari Keluarga,           masyarakat setempat dijemput sama.

           Faktor lain yang menjadi tanggungjawab terhadap masyarakat dan negara ialah mewujudkan kerjasama melalui PIBG, sepatutnya PIBG dan masyarakat sama-sama memainkan peranan dalam memajukan sekolah . Walaubagaimanapun terdapat sekolah di mana PIBG hanya wujud pada namanya sahaja tetapi semua perkara diuruskan oleh pihak sekolah.

           Sebagai contoh sambutan Hari Guru setiap tahun ianya dijalankan sendiri oleh warga pendidik. Sepatutnya pihak ibubapa harus terlibat sama bagi menghargai pengorbanan guru-guru mendidik anak-anak sehingga berjaya. Walaupun perkara ini terdapat dalam etika perguruan tetapi dari segi realitinya hanya pihak guru memainkan peranan tanpa sokongan dari pihak lain.

        Guru sememangnya memainkan peranan cergas dalam meninggikan kehidupan moral, kebudayaan dan kecendikiawan masyarakat tetapi biasanya guru lebih bertindak bersendirian dalam hal ini. Sebagai contoh masalah merokok yang semakin tinggi di kalangan pelajar sekarang ini hanya pihak sekolah yang cuba mengatasinya dengan mengadakan hukuman rotan, gantung persekolahan dan lebih berat lagi buang sekolah.

        Tetapi terdapat di kalangan ibubapa yang membenarkan anak-anak mereka meghisap rokok di rumah.  Sekolah sepatutnya rapat dengan masyarakat dan dari masa ke semasa sekolah sepatutnya memberi pertolongan kepada masyarakat dan sebaliknya. Ini adalah kerana sekolah diwujudkan untuk kepentingan dan keperluan masyarakat, serta meyediakan pelajaran secara formal kepada anak-anak ahli masyarakat dan melatih mereka untuk melahirkan mereka rakyat yang berkemahiran untuk masyarakat dan negara. 

        Guru mestilah bertindak dan bertingkah laku yang sopan dan dapat diterima oleh masyarakat kerana sekolah adalah sebahagian daripada masyarakat yang membayangkan  matlamat dan hasrat serta aspirasi sesuatu masyarakat. Dalam hubungan ini segala tingkah laku guru akan menjadi ikutan kepada masyarakat. Sekolah semestinya memperlihatkan normal-normal, kebudayaan dan falsafah hidup masyarakat.

         Pihak sekolah boleh menganjurkan berbagai-bagai kursus atau ceramah yang menarik minat ahli-ahli masyarakat seperti tentang agama, akhlak, moral, penyakit-penyakit bahaya dan lain-lain lagi. Perkara ini memberi pengetahuan dan matalamat kepada ahli-ahli  masyarakat. Tetapi realitinya perkara ini tidak        diberi penekanan dalam pengurusan sesebuah sekolah. Guru sepatutnya menjadi rujukan umum dan perlu berada dalam keadaan yang boleh diterima oleh masyarakat.              

4. TANGGUNGJAWAB  TERHADAP RAKAN SEJAWAT DAN PROFESIOAN PERGURUAN.

      4.1 Mengelakkan diri dari membuat sebarang kenyataan atau ulasan yang boleh mencemarkan nama baik seseorang guru di hadapan pelajar atau ibubapa atau berbuat sesuatu yang boleh menjatuhkan maruah seseorang guru. Sebagai seorang yang profesional maka sudah tentulah seseorang guru akan menjaga profesion perguruan dan maruah seseorang guru. Mohd Najib (1996), Untuk mencapai hasrat kita ke arah mewujudkan word class education dan seterusnya world class nation, kita memerlukan gabungan tenaga, pemikiran dan daya kreatif dari setiap warga Kementerian.Warga Kementerian perlu visi dan nilai yang dikungsi bersama.

           Oleh hal yang demikian kita perlu sama-sama menjaga  profesion perguruan supaya pelanggang dan stakeholder kita berasa berpuas hati dan kehendak-kehendak mereka yang sah dapat dipenuhi.  Apa yang masyarakat mahu ialah penghasilan kerja sama ada perkhidmatan atau barangan dikeluarkan tanpa            cacat, tepat, dan boleh dipercayai. Sehubungan dengan ini maka kita perlu menjaga profesion perguruan maruah seseorang guru.               

    4.2  Tidak melibatkan diri dalam kegiatan yang boleh menjejaskan kecekapan kami sebagai guru. 

           Guru sepatutnya berusaha meningkatkan taraf profesionalisme masing-masing. Guru dilarang daripada terlibat dalam aktiviti lain seperti berniaga, ejen insuran, ejen jualan langsung kegiatan politik, dan kegiatan luar yang boleh menjejaskan kecekapan sebagai seorang guru. 

               Tetapi apa yang berlaku sekarang ada dikalangan guru yang berniaga di pasar malam, memandu kereta sewa hingga larut malam untuk menambahkan pendapatan. Walaupun mereka mengetahui hal ini tetapi perkara ini terpaksa dilakukan kerana keadaan ekonomi yang terdesak berbuat demikian.

            Akibatnya mereka hadir  ke sekolah sebagai memenuhi syarat perkhidmatan dan mengajar memenuhi masa yang  diperuntukkan sahaja. Jiwa dan raga tidak komited kerana ada agenda lain yang lebih menguntungkan sedang menanti. Kalau diperincikan lagi tentang hal ini makla sudah tentulah banyak lagi tindakan tata tertib yang boleh diambil kepada guru kerana ianya jelas melanggar akta perjanjian sebagai seorang guru.

    4.3  Berusaha dengan sepenuh-penuhnya menunaikan tanggung-jawab kami dengan rajin dan bersungguh-sungguh dan mengekalkannya sejajar dengan kemajuan ikhtisas dan sosial.  

           Berusaha dengan sepenuhnya adalah sangat dituntut supaya peningkatan kecemerlangan dalam semua segi dapat dicapai.  Dalam hubungan ini guru perlu menyediakan perancangan pelajaran yang kemas dan teratur, objektif pelajaran jelas, memastikan minat serta pengetahuan sedia ada pelajar diambil kira dalam merancang pelajaran, set induksi yang baik dan dapat menarik minat pelajar, langkah di peringkat            perkembangan pelajaran disusun mengikut prinsip dari mudah kepada kompleks dan seterusnya menyediakan penutup yang sesuai sama ada penutut sosial atau kognatif pelajar. Tetapi apa yang realitinya berlaku biasanya perkara ini diberikan penekanan semasa latihan mengajar kemudian selepas itu tiada penambahbaikan dibuat.

            Dalam hubungan ini ke arah persediaan memasuki alaf baru, maka kita perlu melihat kembali struktur dan mekanisme pelaksanaan secara total ke arah mewujudkan sistem pendidikan yang efisyen, efektif dan bertaraf dunia.

    4.4  Sentiasa berusaha membantu rakan sejawat kami terutamanya mereka yang baru dalam profesion perguruan.

            Salah satu perkara yang sering ditimbulkan oleh guru-guru ialah biasanya pengetua, guru besar, guru penolong kanan dan  guru-guru kanan banyak menghadiri mesyuarat, menghadiri kursus dalam perkhidmatan, seminar dan guru-guru baru kurang didedahkan tentang perkara ini. Tetapi malangnya selepas mengikutinya tidak diadakan pula kursus dalaman bagi mendedahkan kepada guru-guru lain terutamanya guru-guru baru. Pendek kata sistem komunikasi guru perlu diperkemaskan di semua peringkat: dari peringkat atasan iaitu

            Kementerian sehinggalah ke peringkat negeri, Pejabat Pendidikan Daerah, sekolah hingga kepada guru-guru dan kakitangan. Sepatutnya mereka saring membantu antara satu sama lain, sebaliknya tedapat jurang atau gap antara mereka dan menyebabkan susah untuk menolong antara satu sama lain. Kita perlu bantu membantu antara satu sama lain supaya sistem pengajaran dan pembelajaran kita bukan sekadar    berkesan tetapi mampu memenuhi keperluan sebenar untuk membentuk masyarakat yang berdaya cipta dan mampu menyumbang kepada peradaban dunia.         

    4.5  Sentiasa mengawasi diri kami supaya tidak mencemarkan nama baik profesion perguruan.

           Sebagai seorang yang profesional maka guru hendaklah tidak melakukan sesuatu yang boleh mencemarkan nama baik profesion perguruan. Dalam keadaan politik sekarang ini nampaknya terdapat dikalangan guru yang gagal untuk mengatasi diri dari terlibat dalam gerakan refomasi dengan membawa pelajar sama terlibat. Keadaan ini boleh mencemarkan nama baik profesion perguruan. Segala tingkah laku guru  mestilah dijaga kerana ianya menjadi ikutan orang lain.

    4.6  Akan menjadi ahli sesebuah pertubuhan guru.

           Walaupun perkara ini termasuk dalam etika perguruan, tetapi bilangan guru yang terlibat dalam sesebuah pertubuhan guru adalah kecil. Guru mempunyai beberapa pertubuhan yang besar untuk menjaga kebajikan mereka serta meninggikan mutu profesion perguruan. Jika timbul rasa ketidakadilan, maka           pertubuhan akan berusaha mengatasinya. Antara kesatuan guru ialah National Union Of Teaching Profession (NUTP), Kesatuan Guru-guru Malaysia Barat (KGMMB). Sekarang ini banyak koperasi guru ditubuhkan untuk membantu guru seperti Yayasan Guru Malaysia Berhad tetapi bilngan yang menyertainya amat sedikit. 

Kesimpulan.

            Matalamat mewujudkan sistem pendidikan bertaraf dunia dan menjadikan Malaysia pusat kecemerlangan pendidikan di rantau ini adalah merupakan tanggungjawab semua warga Kementerian Pendidikan Malaysia. Sekiranya kita mengikuti sepenuhnya Kod Etika Profesion Perguruan Malaysia maka kita akan mempunyai sifat-sifat luhur, bertanggungjawab dan tahap profesionalisme yang tinggi dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab masing-masing.

            Kita dapat melihat bahawa etika mempunyai kedudukan yang istimewa dalam pengurusan. Etika yang baik akan menghasilkan budaya kerja yang cemerlang dan pengurusan yang berkualiti yang akan berakhir dengan hasil perkhidmatan dan barangan yang bermutu tinggi.

            Kod Etika Profesion Perguruan Malaysia perlulah diikuti dan diamalkan sepenuhnya oleh semua warga pendidik kerana ianya merupakan asas kepada perkhidmatan yang menuju kepada pendidikan bertaraf dunia yang diidamkan. Guru-guru telah diamanahkan untuk membentuk generasi pelajar yang berilmu, beriman, bertakwal, berakhlak mulia serta mampu memberi sumbangan kepada pembangunan negara berasaskan kod etika profesion perguruan.

Rujukan

Abdul Rahman Md. Arof  (1999). Pendidikan Moral. Teori Etika dan Amalan Moral . Serdang: Universiti Putra Malaysia.

Abdul Halim Hassan  (1994).  Komunikasi Dalam Pengurusan Pendidikan.  Kuala Lumpur.  Delma (M) SDN.BHD.

Hisham Altalib  (1992).  Panduan Latihan bagi Petugas Islam. Kuala Lumpur.  Nurin Enterprise.

Mustafa Haji Daud  (1996). Etika Pengurusan. Kuala Lumpur: Utusan Publiction & Distributions Sdn.Bhd.

Rozhan Othman  (1997).  Pengurusan Personal dan Perancangan Guna Tenaga.  Kuala Lumpur. Dewan Bahasa dan Pustaka.

Zainal Abidin Mohamed (1998).  Pengurusan Strategik. Kuala Lumpur: Utusan Publication & Distributors Sdn. Bhd.

Wan Shamsuddin Wan Mamat (1999).  Perancangan Pendidikan PG586.  Terengganu.  Universiti Putra Malaysia.

Persatuan Pendidikan Malaysia (Jld 20 No.2(SEP) 1998). Suara Pendidik. Institut Aminuddin Baki Sri Layang Genting Highland Pahang.

Samat Buang.  Sistem Komunikasi Manusia Dan Haiwan: Satu Perbandingan.  Jurnal Dewan  Bahasa  April 1997.

 

 
semua maklumat di sini adalah hakmilik semua, sila perbanyakkan lagi
©SIMEE CYBER - http://simee.bravepages.com/ - 2002