Banner di atas tiada kena mengena dengan saya. Ia adalah dari syarikat yang memberi ruang web ini.
Lepak sungguh kat sini

 

KISAH KEPALA KAMBING


Adalah Ibn Umar ra telah menceritakan:
'Seorang Sahabat telah menerima satu pemberian hadiah berupa kepala kambing. Tetapi dia telah memikirkan bahawa dia tidak berhak memiliki pemberian hadiah kepala kambing tersebut sedangkan jiran yang tinggal di sebelah rumahnya lebih memerlukan kerana jiran ini mempunyai satu keluarga yang besar. Lalu dia pun menghadiahkan kepala kambing itu kepada keluarga tersebut. Manakala jirannya pula setelah menerima pemberian darinya itu telah juga memikirkan bahawa beliau juga tidak perlu memiliki pemberian tersebut kerana terkenangkan akan seorang jirannya yang sangat memerlukan lebih daripada apa yang diperlukannya. Begitulah juga seterusnya berlaku sehingga diketahui bahawa pemberian kepala kambing itu telah bertukar dari tangan ke tangan saudara-saudara yang lain tidak kurang dari 7 kali. Akhir sekali, rupa0rupanya pemberian kepala kambing itu telah kembali ke tangan Sahabat yang mula-mula menerimanya,'
Dari peristiwa ini dapatlah kita pelajari bagaimana para Sahabat yang berada dalam kemiskinan dan setengah dari mereka yang sentiasa memerlukan, sanggup pula mengutamakan kepentingan saudara mereka yang lain dari mementingkan kenikmatan untuk diri mereka sendiri.


KEHIDUPAN YANG SEDERHANA


Pada suatu hari nabi sedang duduk dengan beberapa orang sahabatnya. Seketika itu juga melintas seorang hamba Allah di hadapan mereka, lantas Nabi pun bertanya:
“Apakah pendapat kamu terhadap orang itu?”
Mereka menjawab:
“ Ya Rasulullah, dia berketurunan bangsawan. Demi Allah , jika dia melamar seorang wanita dari kaum bangsawan juga, lamarannya sudah barangpasti tidak akan ditolak, kalau dia menganjurkan sebarang perkahwinan, perkahwinan itu pasti akan dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak.”
Nabi tidak memberikan sebarang ulasan. Sebentar kemudiannya melintas lagi seorang hamba Allah di hadapan mereka, Nabi bertanya pula berkenaan orang ini.
Kata mereka : “Dia seorang Islam yang miskin. Kalaupun dia bertunang dengan seorang wanita, peluangnya untuk mengahwini wanita itu sudah tentu tipis. Kalau dia menganjurkan perkahwinan anjurannya akan gagal. Jika ia berkata, tiada seorang pun mahu mendengarnya.”
Nabi berkata:
“Orang kedua ini lebih baik daripada orang yang pertama.”
Allah tidak memandang akan keturunan mahupun darjat seseorang. Seorang Islam yang miskin, yang hina dina dan dipandang rendah oleh insan semuanya, lebih dekat kepada Allah daripada beratus-ratus orang yang kononnya bangsawan dan dimuliakan serta dijilat-jilat oleh manusia lain. Dalam sepotong hadis Nabi s.a.w ada bersabda:
“Riwayat alam maya ini akan tamat kalau tidak ada seorang manusia pun yang memuji-muji nama Allah. Hanya nama Allah yang Kudus sahaja yang menghidupkan alam ini.”


KAKI AMPU YANG MUNAFIK


Pada suatu hari, seorang raja memanggil kesemua penasihatnya yang terdiri daripada mufti, menteri-menteri dan timbalannya, para hukama dan tokoh-tokoh agama negarawan ke istana hinggapnya. Mereka dijamu dengan pelbagai juadah dan dianugerahi dengan bintang-bintang kehormat.
Selepas menikmati jamuan, raja mengeluarkan sebotol minyak wangi dari sakunya. Baginda membuka dan menghidunya. "Minyak wangi apa ni... busuk sangat baunya.." Sambil berkata begitu, raja itu menghulurkan botol itu kepada mufti di sebelahnya. Mufti itu menghidunya. "Ya, benar. Terlalu busuk minyak wangi ini." Minyak wangi itu diberikan pula kepada wazir di sebelahnya. Wazir itu berkata, "Betul Tuanku! Minyak wangi ini memang busuk." Begitulah seterusnya botol itu diedar kepada para jemputan yang ada di balai rong. Kesemua mereka mengatakan busuk sebagaimana didakwa oleh rajanya.
Akhirnya sampailah kepada giliran seorang mamanda menteri. Sebaik saja menciumnya, dia terus berikan respons, "Tidak betul, mana ada minyak wangi yang tidak wangi. Kesemua minyak wangi adalah wangi termasuk yang ini. Minyak wangi ini sangat harum, tidak seperti yang tuan-tuan katakan."
Mendengar kata-kata mamanda menteri tadi, raja itu tersenyum sambil berkata, "Benar kata-kata menteriku ini. Kamu semua adalah pengampu yang berbohong. Kamu sanggup menyembunyikan kebenaran kerana nak mengampu dan menjaga status kamu semua. Mulai hari ini pengampu-pengampu semua dipecat dari sebarang jawatan. Mamanda menteri yang berkata benar ini beta lantik menjadi penasihat diraja."


PENCURI KAIN KAPAN


Di Baghdad terdapat seorang lelaki yang sering mencuri kain kapan. Dia menggali setiap kubur orang yang baru meninggal dunia dan mengambil kain itu. Pada satu malam sedang dia menggali kubur, dia terperanjat besar melihat api menjulang-julang keluar dari lubang kubur. Badannya menggigil dan terus pengsan.
Sebaik saja sedar, dia lari lintang-pukang sambil menangis teresak-esak. Dia berjumpa dengan seorang wali Syeikh Jonid Al-Bustani untuk menceritakan keadaan dan ingin bertaubat. Dia mengadu yang dia telah menggali 78 kubur. Hanya 2 kubur saja yang mayatnya masih menghadap kiblat. Dalam kubur-kubur lain, semua mayat itu telah berpusing membelakangkan kiblat. Syeikh Joned menerangkan mayat-mayat yang berpusing membelakangkan kiblat itu adalah pada masa hidupnya syak atau ragu-ragu tentang jaminan rezeki oleh Allah.


TUKANG KASUT DAN RAJA


Seorang alim meminta tukang kasut menampal kasutnya yang koyak. Orang alim itu tidak mempunyai wang sebagai upah kepada tukang kasut. Sebagai ganti dia hendak mengajarkan satu ilmu agama kepadanya. Tukang kasut itu tidak bersetuju dan tetap hendakkan wang sebagai upah.
Di negeri yang sama, seorang raja menyerahkan anaknya kepada Tok Guru untuk mendalami ilmu agama. Bertahun-tahun anaknya belajar di pondok Tok Guru tetapi tidak dapat apa-apa kecuali mahir dalam satu bab saja iaitu Bab Haid. Apabila Raja mengetahui anaknya mahir dalam agama walau satu bab sahaja, dia menyerahkan semua hartanya kepada si-anak tadi.


PERBALAHAN MALAIKAT RAHMAT DAN MALAIKAT AZAB


Pada zaman dulu, ada seorang lelaki yang telah membunuh 99 orang. Dia ingin menjumpai pendeta untuk meminta fatwa supaya dia dapat bertaubat dari dosanya. Sebaik saja berjumpa, dia pun menerangkan bahawa dia telah membunuh 99 orang dan bertanya sama ada dia masih ada peluang untuk bertaubat. Pendeta dengan tegas mengatakan dia tidak boleh bertaubat kerana dosanya terlalu banyak. Lelaki itu menjadi marah dan terus membunuh pendeta itu, menjadikannya mangsa yang ke-100.
Dia masih ingin untuk bertaubat dan terus mencari kalau-kalau ada ulama yang boleh membantunya. Akhirnya dia berjumpa dengan seorang ulama. Dia menceritakan bahawa dia telah membunuh 100 orang dan bertanya sama ada Allah masih menerima taubatnya. Ulama itu menerangkan dia masih ada harapan untuk bertaubat. Seterusnya dia menyuruh lelaki itu pergi ke sebuah negeri di mana terdapat sekumpulan abid (orang beribadat). Apabila sampai di sana nanti, ulama itu menyuruhnya tinggal di sana dan beribadat bersama mereka. Ulama itu melarangnya pulang ke negeri asalnya yang penuh dengan maksiat.
Lelaki itu mengucapkan terima kasih lalu terus menghala ke negeri yang diterangkan oleh ulama tadi. Sebaik saja sampai separuh perjalanan, dia jatuh sakit lalu meninggal dunia.
Ketika itu terjadilah perbalahan antara dua malaikat, iaitu Malaikat Rahmat dan Malaikat Azab. Malaikat Rahmat ingin mengambil roh lelaki itu kerana pada pendapatnya dia adalah orang baik lantaran azamnya untuk bertaubat sementara Malaikat Azab mengatakan dia mati dalam su'ul-khatimah kerana dia telah membunuh 100 orang dan masih belum membuat sebarang kebajikan. Mereka saling berebutan dan tidak dapat memutuskan keadaan lelaki itu.
Allah kemudian menghantar seorang malaikat lain berupa manusia untuk mengadili perbalahan mereka berdua. Dia menyuruh malaikat itu mengukur jarak tempat kejadian itu dengan kedua-dua tempat; adakah tempat kejadian itu lebih dekat dengan tempat kebajikan yang hendak dituju atau lebih dekat dengan tempat dia mula bertolak. Sekiranya jaraknya lebih dekat dengan tempat kebajikan, dia kepunyaan Malaikat Rahmat. Setelah diukur, didapati jarak ke negeri kebajikan melebihi kadar sejengkal saja. Lalu roh lelaki itu terus diambil oleh Malaikat Rahmat. Lelaki itu akhirnya mendapat pengampunan Allah.


BATU TERLEPAS DARI NERAKA


Pada zaman dulu, seorang nabi bertemu seketul batu kecil di tengah jalan. Beliau hairan dan tercengang melihat air mencurah-curah keluar dengan banyak melalui serkahan batu itu. Dengan izin Allah, batu itu boleh berkata-kata. "Semenjak aku dengar Firman Tuhan bahawa bahan bakar neraka ialah manusia dan batu, aku selalu menangis ketakutan!" Nabi itu bermohon supaya batu itu terlepas dari neraka. Beberapa lama kemudian, nabi itu menjumpai batu itu sekali lagi dalam keadaan menangis seperti dulu. Beliau bertanya batu itu kenapa dia menangis lagi sedangkan dia terselamat dari menjadi bahan bakar api neraka. "Dulu aku menangis kerana ketakutan tetapi sekarang aku menangis kerana bersyukur dan gembira!!"


SI-SOPAK, SI-BOTAK DAN SI-BUTA


Pada suatu hari Allah memerintahkan malaikat bertemu dengan tiga orang Bani Israil. Ketiga-tiga mereka cacat; seorang botak, seorang sopak dan seorang lagi buta.
Malaikat yang menyamar seperti manusia itu bertanya si-sopak "Jika Allah hendak kurniakan sesuatu untuk kamu, apakah yang kamu mahu?" Si-sopak menjawab, "Saya mahu kulit saya sembuh seperti biasa dan diberi kekayaan yang banyak." Dengan takdir Allah, kulitnya kembali sembuh dan dikurniakan rezeki yang banyak.
Kemudian malaikat bertanya si-botak soalan yang sama. Si-botak menjawab, "Saya mahu kepala saya berambut semula supaya kelihatan kacak dan diberikan harta yang banyak." Tiba-tiba, dengan kurnia Allah si-botak itu kembali berambut dan diberikan harta yang banyak.
Selepas itu malaikat bertanya si-buta pertanyaan yang sama. Si-buta menjawab, "Saya hendak mata saya dicelikkan semula dan diberikan harta yang banyak." Dengan takdir Allah, mata si-buta menjadi celik dan dikurniakan kekayaan yang melimpah.
Selang beberapa bulan, Allah memerintahkan semula malaikat untuk berjumpa dengan ketiga-tiga orang cacat itu. Kali ini malaikat menyamar sebagai peminta sedekah. Dia berjumpa dengan orang pertama yang dulunya sopak dan meminta sedikit wang. 'Si-sopak' itu tidak menghulurkan sebarang bantuan malah mengherdik malaikat. Malaikat berkata, "Saya rasa saya kenal kamu. Dulu kamu sopak..dan miskin. Allah telah menolong kamu." Si-sopak tidak mengaku. Dengan kuasa Allah, si-sopak yang sombong itu bertukar menjadi sopak semula dan bertukar menjadi miskin.
Kemudian malaikat berjumpa dengan si-botak yang telah menjadi kaya dan berambut lebat. Apabila malaikat meminta bantuan, si-botak juga enggan membantu, malahan dia tidak mengaku bahawa dia dulu botak. Oleh sebab sombong dan tidak sedar diri, Allah menjadikan kepalanya botak semula dan bertukar menjadi miskin.
Malaikat berjumpa dengan orang buta yang telah diberikan penglihatan. Apabila malaikat meminta bantuan, si-buta memberikan keseluruhan hartanya dan berkata, "Ini semua harta pemberian Allah. Ambillah kesemuanya. Mata saya yang kembali celik ini adalah lebih berharga daripada kesemua harta ini." Malaikat tidak mengambil pemberian itu. Dia memberitahu bahawa dia adalah malaikat yang pernah datang dulu. Kedatangannya kali ini ialah untuk menguji siapa di antara mereka bertiga yang bersyukur.
Si-buta yang bersyukur itu terus dapat menikmati kekayaan dan penglihatannya. Manakala si-sopak dan si-botak kekal dengan keadaannya yang asal.

 
semua maklumat di sini adalah hakmilik semua, sila perbanyakkan lagi
©SIMEE CYBER - http://simee.bravepages.com/ - 2002